TEL AVIV: Lebih 450 tokoh Yahudi terkemuka dunia termasuk bekas pegawai Israel, pemenang Oscar, penulis dan intelektual menandatangani satu surat terbuka menyeru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta pemimpin dunia mengenakan sekatan terhadap Israel bagi tindakan tidak berperikemanusiaan dan genosid di Gaza.
Surat itu turut menegaskan tindakan Israel di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur melanggar prinsip asas undang-undang antarabangsa yang lahir selepas Holocaust bagi melindungi nyawa manusia.
Antara penandatangan termasuk bekas Speaker Knesset, Avraham Burg; bekas perunding damai Israel, Daniel Levy; penulis Britain, Michael Rosen; penulis Kanada, Naomi Klein; Pengarah filem dan pemenang Oscar, Jonathan Glazer; Pelakon Amerika Syarikat (AS), Wallace Shawn; Pelakon dan Produser AS, Ilana Glazer serta Pemenang Anugerah Pulitzer, Benjamin Moser.

Dalam surat itu, mereka menggesa pemimpin dunia menghormati keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), menghentikan penghantaran senjata ke Israel serta mengenakan sekatan bersasar terhadap rejim Zionis itu.
Kumpulan itu turut meminta pemimpin dunia memastikan bantuan kemanusiaan mencukupi dihantar segera ke Gaza serta menolak dakwaan palsu antisemitisme terhadap pihak yang memperjuangkan keamanan dan keadilan.
“Kami tidak melupakan begitu banyak undang-undang, piagam dan konvensyen yang diwujudkan untuk melindungi kehidupan manusia dicipta sebagai tindak balas terhadap Holocaust.
Perlindungan itu kini dilanggar tanpa henti oleh Israel.
“Kami tunduk dengan kesedihan mendalam apabila bukti demi bukti menunjukkan tindakan Israel memenuhi takrif undang-undang pembunuhan beramai-ramai,” jelas surat itu.
Gerakan terbaharu itu turut mencerminkan perubahan ketara pandangan masyarakat Yahudi Amerika Syarikat (AS) dan pengundi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
MALU DENGAN GENOSID ISRAEL
Tinjauan Washington Post mendapati 61 peratus responden Yahudi percaya Israel melakukan jenayah perang di Gaza, manakala 39 peratus lagi berpendapat ia merupakan genosid.
Kajian oleh Brookings Institution yang meninjau pandangan rakyat AS secara umum mendapati 45 peratus daripada responden percaya Israel sedang melakukan genosid, manakala satu tinjauan oleh Quinnipiac pada Ogos menunjukkan separuh daripada pengundi negara itu berkongsi pandangan serupa, termasuk 77 peratus dalam kalangan Demokrat.
Surat itu menegaskan solidariti terhadap rakyat Palestin bukan satu pengkhianatan terhadap ajaran Yahudi, sebaliknya satu bentuk usaha menunaikan ajaran agama tersebut.
“Apabila para sarjana kami mengajarkan tindakan memusnahkan satu nyawa ibarat memusnahkan seluruh dunia, tiada pengecualian dibuat terhadap rakyat Palestin.
“Kami tidak akan berdiam diri sehingga gencatan senjata ini diteruskan kepada pengakhiran pendudukan dan apartheid,” tegas penandatangan surat itu.
Surat berkenaan dikeluarkan ketika para pemimpin Kesatuan Eropah (EU) bermesyuarat di Brussels pada Khamis, dengan laporan mereka merancang untuk menangguhkan cadangan sekatan berhubung pelanggaran hak asasi manusia.
Gencatan senjata di Gaza yang bermula pada 10 Oktober lalu turut digugat pelanggaran berulang kali.
Agensi berita Palestin melaporkan, Israel melanggar gencatan senjata sebanyak 80 kali dan membunuh sekurang-kurangnya 80 rakyat Palestin dalam tempoh 11 hari lalu.
Tentera Israel pula menuduh Hamas melanggar perjanjian itu dengan membunuh dua askar Israel di Rafah dan melambatkan pemulangan mayat tebusan.
Malah, dua senator Demokrat AS, Chris Van Hollen dan Jeff Merkley yang menyertai misi mencari fakta ke rantau itu pada September lalu merumuskan Israel melaksanakan rancangan sistematik melakukan pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin di Gaza, dengan AS turut bersekongkol.
Laporan mereka turut memperincikan kemusnahan hampir keseluruhan infrastruktur awam, penggunaan makanan sebagai senjata, serta halangan sistematik terhadap penyaluran bantuan kemanusiaan.
KECAM KEKEJAMAN DI TEBING BARAT
Penandatangan surat berkenaan turut mengkritik perjanjian gencatan senjata di Gaza kini yang tidak menyentuh keadaan di Tebing Barat, di mana keganasan peneroka Israel terus meningkat.
Menurut kumpulan hak asasi Israel, Yesh Din, hanya tiga peratus siasatan terhadap keganasan peneroka antara 2005 hingga 2024 membawa kepada sabitan.
Menurut laporan terbaharu Pejabat Kemanusiaan PBB, lebih 3,200 rakyat Palestin cedera akibat serangan di Tebing Barat tahun ini, manakala PBB merekodkan 71 serangan peneroka haram dalam tempoh seminggu pada bulan Oktober.
Seorang wanita berusia 55 tahun dimasukkan ke hospital selepas dipukul seorang peneroka bertopeng ketika memetik buah zaitun dan serangan itu turut dirakam dalam video.
Mahkamah Keadilan Antarabangsa dijangka mengeluarkan keputusan baharu minggu ini berhubung kewajipan Israel di wilayah didudukinya, selepas pendapat undang-undang Julai 2024 yang mengisytiharkan pendudukan itu sebagai menyalahi undang-undang.









