NEW YORK: Instagram memperketatkan penapisan kandungan bagi akaun pengguna remaja agar selaras dengan piawaian penarafan PG-13 yang digunakan dalam industri filem.
Langkah itu dibuat ketika syarikat induk Meta dan platform media sosial lain berdepan tekanan untuk membuktikan mereka tidak mengutamakan keuntungan dan keterlibatan pengguna melebihi kesejahteraan khususnya golongan kanak-kanak.
Perubahan itu bermaksud pengguna remaja di Instagram kini akan melihat tahap kandungan matang yang setara dengan filem berpenarafan PG-13, penarafan sukarela yang diperkenalkan oleh Persatuan Perfileman Amerika (MPAA) pada tahun 1984.
Penarafan PG-13 di pawagam Amerika Syarikat (AS) bertujuan memberi amaran kepada ibu bapa apabila filem mengandungi adegan panas, keganasan atau penggunaan dadah yang dianggap tidak sesuai untuk kanak-kanak di bawah usia 13 tahun berbanding filem berpenarafan Parental Guidance (PG).
Antara contoh kandungan yang boleh mencetuskan penarafan PG-13 termasuk promosi diet ekstrem atau pengagungan alkohol dan tembakau.
Meta juga akan terus menggunakan teknologi pengesanan umur bagi mengesan remaja yang cuba menipu dengan mendaftar sebagai pengguna dewasa.
Instagram sebelum ini menghalang kandungan mengejutkan atau berunsur seksual daripada muncul di akaun remaja.
Dengan kemas kini baharu ini, hantaran yang menggalakkan tingkah laku berisiko seperti cabaran berbahaya juga akan disembunyikan dan dikeluarkan daripada saranan algoritma.
Penapisan PG-13 ini sedang dilaksanakan di Australia, Britain, Kanada dan Amerika Syarikat (AS), dengan rancangan untuk diperluas ke lebih banyak negara dalam beberapa bulan akan datang.
Di bawah sistem penarafan tersebut, keputusan dibuat oleh Lembaga Klasifikasi dan Penarafan Bebas yang terdiri daripada ibu bapa.
Bagi ibu bapa yang mahu lebih kawalan terhadap aktiviti anak mereka di Instagram, satu pilihan baharu ‘kandungan terhad’ akan disediakan bagi menghalang pengguna muda daripada melihat, menulis, atau menerima komen di bawah hantaran.
Menurut Meta, mulai tahun depan, ciri ini juga akan digunakan untuk mengehadkan perbualan antara remaja dan alat kecerdasan buatan (AI) di platform tersebut.-AFP