ABU DHABI: Pasangan dari mana-mana negara di seluruh dunia kini boleh melangsungkan perkahwinan melalui aplikasi kerajaan Abu Dhabi tanpa perlu menjejakkan kaki ke negara itu, menurut ketua projek berkenaan kepada agensi berita AFP.
Konsep perkahwinan dalam talian masih baharu di peringkat global, namun idea itu mula diperkenalkan apabila pada tahun lalu Ukraine membenarkan pasangan yang terpisah akibat perang untuk berkahwin menggunakan aplikasi rasmi kerajaan mereka.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum ini turut menjalankan percubaan majlis akad nikah secara dalam talian ketika pandemik Covid-19 bagi penduduk tempatan.
Namun menurut Ketua Aplikasi TAMM milik kerajaan Abu Dhabi, Mohamed Al Askar, versi terbaharu sistem itu mempunyai matlamat yang lebih luas.
“Ia terbuka kepada semua. Sesiapa sahaja yang ingin berkahwin di Abu Dhabi, tanpa mengira kewarganegaraan, boleh menggunakan perkhidmatan ini secara dalam talian,” katanya ketika ditemui pada pameran teknologi Gitex di Dubai.
“Pasangan hanya perlu log masuk dalam talian dan boleh melengkapkan keseluruhan proses tanpa perlu hadir ke mana-mana pejabat fizikal. Kami antara pihak terawal yang melaksanakan sistem ini,” ujarnya.
Dengan bayaran sebanyak 800 dirham (RM920), pengguna boleh mengisi borang secara digital, memuat naik dokumen yang diperlukan, menempah jurunikah, dan mengadakan majlis perkahwinan secara maya semuanya dalam tempoh kurang 24 jam.
Perkhidmatan itu bukan sahaja disediakan kepada rakyat UAE dan penduduk tetap, malah turut dibuka kepada pasangan bukan pemastautin yang hanya memerlukan wakil atau peguam di negara tersebut untuk menguruskan proses berkenaan.
UAE kini menjadi satu-satunya negara di Teluk yang membenarkan perkahwinan sivil bukan berasaskan agama, namun hak itu khusus untuk warga asing.
Kemudahan perkahwinan dalam talian itu dimasukkan dalam versi terbaharu aplikasi TAMM, yang turut menyediakan lebih 1,000 perkhidmatan kerajaan digital untuk penduduk Abu Dhabi. -AFP