BAITULMUQADDIS: Di sebalik kesunyian dunia, penjara-penjara Israel terus menelan ribuan nyawa rakyat Palestin, digambarkan aktivis sebagai “lohong hitam” yang memusnahkan jasad serta jiwa manusia.
Menurut laporan pertubuhan hak asasi manusia, lebih 9,100 rakyat Palestin kini dipenjarakan oleh rejim Israel, termasuk kira-kira 400 kanak-kanak dan 75 wanita.
Dalam kalangan tahanan itu terdapat juga doktor, guru dan wartawan yang ditahan kerana menjalankan tugas kemanusiaan menggunakan stetoskop, pena atau kamera untuk mendedahkan kekejaman pendudukan.
Antara yang ditahan tanpa sebarang pertuduhan ialah dua tokoh perubatan terkemuka, Dr. Husam Abu Safiya dan Dr. Marwan al-Hams, yang dikatakan diculik dari hospital tempat mereka berkhidmat.
Lebih menyedihkan, kata laporan itu, ialah sikap berdiam diri media Barat dimana tiada laporan mengenai kanak-kanak yang kehilangan zaman kecil mereka di sebalik jeriji besi, atau ibu-ibu yang menunggu bertahun-tahun untuk mendengar khabar anak mereka.
Gambar-gambar bekas tahanan yang dibebaskan dalam keadaan tubuh kurus, mata kosong dan diselubungi penyakit akibat pengabaian kesihatan juga jarang disiarkan.
Beberapa doktor yang memeriksa bekas tahanan melaporkan mereka mengalami jangkitan kulit teruk, kekurangan zat makanan serta tangan yang menggeletar akibat berbulan-bulan dipasung.
Pemerhati antarabangsa menegaskan, jika penderaan seperti ini dilakukan oleh negara lain, pastinya media Barat akan lantang menuntut keadilan namun apabila pelakunya Israel dan mangsanya rakyat Palestin, dunia lebih memilih untuk berdiam diri atas nama keselamatan dan pertahanan diri.
Kumpulan hak asasi menegaskan penahanan ribuan rakyat Palestin tanpa bicara ini merupakan jenayah terhadap kemanusiaan.
Mereka menggesa Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) segera mengambil tindakan, termasuk melawat semua pusat tahanan Israel, mendokumentasikan keadaan penjara, memastikan rawatan perubatan diberikan dan membenarkan peguam serta pemerhati bebas memasuki fasiliti berkenaan.
Mereka turut menuntut pembebasan segera semua tahanan Palestin lelaki, wanita dan kanak-kanak serta mendakwa pihak yang bertanggungjawab terhadap penyeksaan dan kehilangan paksa di mahkamah antarabangsa.
Menurut laporan itu lagi, dasar penahanan tanpa bicara mesti dihentikan segera.
“Siapa yang pernah menyaksikan pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran yang disengajakan di Gaza tidak akan terkejut dengan apa yang berlaku di dalam penjara-penjara ini,” tegas kenyataan itu.
Tambah pertubuhan itu lagi, tangan yang menekan picu peluru di Gaza adalah tangan yang sama mengetatkan rantai di pergelangan tangan tahanan Palestin namun, di sebalik kegelapan itu, tahanan-tahanan tersebut tetap bertahan menjadi saksi hidup kepada kekejaman penjajahan dan kejatuhan moral dunia yang seolah-olah telah kehilangan nurani.
“Masih ada yang berani menyebut dengan lantang, kebebasan adalah hak, dan maruah manusia tidak boleh ditawar-menawar.” Ujar kenyataan itu lagi. -AGENSI