Ahmad Amzad mahu jadikan Kuala Terengganu bandar moden

Ahmad Amzad mahu jadikan Kuala Terengganu bandar moden

Mendekati rakyat tanpa mengira tempat menjadi salah satu agenda wajib Ahmad Amzad apabila berada dalam kawasan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“SAYA mahu penduduk Kuala Terengganu rasa wakil mereka senang didekati, tidak berjarak dan sedia mendengar.”

Itulah prinsip dipegang teguh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai pemimpin masyarakat.

Sebagai wakil rakyat bagi sebuah kawasan bandar yang pesat membangun namun masih berakar dalam nilai tradisi, pendekatan Ahmad Amzad bukan sahaja bersifat fizikal melalui pembangunan infrastruktur, malah menekankan aspek keterlibatan sosial, kebajikan rakyat dan keseimbangan antara pembangunan serta nilai warisan.

DARIPADA PADANG BOLA KE PROGRAM MAKAN PERCUMA

Bagi mendekati semua lapisan masyarakat, Ahmad Amzad mengambil pendekatan turun padang secara konsisten. Daripada anak muda, warga emas sehingga kepada komuniti nelayan di kampung pesisir, beliau percaya pendekatan paling ampuh adalah dengan bergaul, mendengar dan bertindak.

Anak muda didekati melalui program belia, keusahawanan digital serta aktiviti sukan antaranya perlawanan bola sepak tempatan dan sukan berbasikal. Beliau selaku bapa angkat Pasukan.

 

 

Berbasikal Kuala Terengganu turut menyumbang RM5,000 secara peribadi kepada pasukan yang baru-baru ini menjuarai Acara Berbasikal SUTERA III.

Bagi warga emas dan golongan berpendapatan rendah, Program Rumah Makan Kuala Terengganu (Percuma) yang diperkenal mendapat sambutan luar biasa. Program ini bukan sekadar menyediakan makanan percuma tetapi mencipta ruang interaksi sosial dalam suasana ukhuwah dan kasih sayang.

PENDEKATAN SAINTIFIK DAN JANGKA PANJANG

Kuala Terengganu antara kawasan sering terjejas akibat banjir terutama pada musim tengkujuh. Ahmad Amzad secara aktif memantau kawasan berisiko seperti Taman Alamanda, Kuala Ibai dan Gong Tok Nasek khususnya apabila hujan lebat dan air pasang besar.

Antara usaha yang dibuat, membawa isu ini ke Parlimen pada 4 Mac 2024 dan mengusulkan pelan tindakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Daerah. Hasilnya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) membentangkan dua pelan utama iaitu jangka pendek melibatkan kerja pembersihan saliran besar (Monsun Drain). Untuk jangka panjang pula, melalui Rancangan Tebatan Banjir

Sungai Ibai di Tok Adis yang dianggarkan menelan kos RM147 juta.

“Isu ini tidak boleh diselesaikan dengan janji. Ia perlukan data, lapangan dan tindakan menyeluruh daripada pihak bertanggungjawab,” katanya.

PELUANG PEKERJAAN

Ahmad Amzad mengakui ramai belia terpaksa berhijrah kerana kurang peluang pekerjaan. Justeru, fokus kini adalah mengembangkan ekonomi tempatan melalui sektor pelancongan, industri kreatif dan digital.

“Penubuhan Pusat Cari Kerja Terengganu (PCK) menjadi platform sehenti kepada belia mencari kerja dan menjalani latihan kemahiran. Sejak 2018, lebih 20,000 peluang pekerjaan diwujudkan dan dengan tertubuhnya PCK, kerajaan negeri kini memperkukuh lagi ekosistem pekerjaan dan pembangunan sumber manusia di bawah agenda Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera,” katanya.

KESIHATAN AWAM

Hospital Sultanah Nur Zahirah masih berdepan cabaran kapasiti dan kekurangan pakar. Kes rujukan bayi kritikal yang ditolak kerana kekurangan peralatan mencetuskan kebimbangan. Justeru,

Ahmad Amzad mendesak agar rawatan neonatal dipertingkat, penambahan pakar pediatrik dan neonatal selain hospital diperkasakan.

“Saya lega apabila kerja pembinaan semula Klinik Kesihatan Hiliran dimulakan awal tahun depan dengan jangkaan tempoh pembinaan sekitar tiga tahun. Apabila projek ini dimulakan, saya menjangkakan berlaku sedikit tekanan terhadap perkhidmatan di Klinik Kesihatan Chendering dan Manir.

 

Biodata :
Datuk Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim
Jawatan: Ahli Parlimen Kuala Terengganu P036
Tempat lahir: Kampung Durian Burung, Kuala Terengganu.
Nama Pasangan:
Datin Dr. Nur Diana Ahmad Takri
Bilangan anak: Sembilan orang
Pendidikan :
Sekolah Menengah: Sekolah Sultan Mahmud, Kuala Terengganu (SESMA 1983-1987)
Universiti: Universiti Kebangsaan Malaysia (1995)
Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian 2 Atas )
Jawatan dalam politik :
 AJK PAS Pusat (Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah & Wilayah PAS Pusat : 2021-Sekarang
 AJK Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu : 2019-Sekarang
 Timbalan Yang Di Pertua Pas Kuala Terengganu – 2025
 Naib Yang Di Pertua Pas Kawasan Kuala Terengganu : 2015 – 2022

 

“Namun, saya bersyukur kerana Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu telah menyusun perancangan rapi untuk mengatasi kesesakan ini, antaranya melalui sistem giliran yang lebih efisien dan pengurusan maklumat pesakit secara digital. Ini mempercepat proses rawatan,” ujar beliau.

BANDAR BUDAYA ISLAM

Kuala Terengganu memiliki keunikan tersendiri dengan memiliki pantai, budaya, seni bina dan warisan Islam. Fokus utama adalah memajukan pelancongan berasaskan komuniti. Sehubungan itu, beliau menyokong penuh usaha memulihara tapak warisan seperti Pasar Payang, Kampung Cina dan Kampung Losong, sambil melibatkan penduduk dalam sektor pelancongan termasuk inap

desa, produk tempatan serta pemandu pelancong.

“Saya juga mahu pastikan kawasan warisan seperti Pasar Payang, Kampung Cina dan Kampung Losong kekal terpulihara kerana inilah wajah sebenar Kuala Terengganu sebagai bandar yang moden tetapi masih berjiwa tradisi,” katanya.

PERUMAHAN

Istilah ‘rumah mampu milik’ perlu ditafsir semula agar tidak hanya merujuk kepada harga sebaliknya disesuaikan dengan pendapatan sebenar rakyat.

Ahmad Amzad berkata, rumah mampu milik yang benar-benar membantu rakyat adalah yang memenuhi keperluan isi rumah dari segi keselesaan, lokasi dan kemampuan jangka panjang.

Beliau mencadangkan supaya kawasan flat lama Bukit Kecil dibangunkan semula menggunakan pendekatan seperti Projek Razak Mansion yang mana pemilik asal menerima rumah baharu lebih moden dan selesa tanpa bayaran.

“Bagi pemilik rumah teres bukan strata pula, boleh menikmati rumah gantian secara percuma, malah berpotensi memperoleh unit tambahan untuk disewakan atau dijadikan premis perniagaan,” katanya.

Pendekatan ini bukan sahaja memacu pemilikan harta dalam kalangan orang Melayu di bandar, malah meningkatkan nilai hartanah dan menarik lebih banyak aktiviti ekonomi ke kawasan bandar Kuala Terengganu.

Melihat ke hadapan, impian besar Ahmad Amzad adalah menjadikan Kuala Terengganu, bandar moden berteraskan warisan Islam dan nilai Melayu, tempat di mana rakyat hidup bahagia, dan bangga menjadi warganya.

Dengan skor 8.64 dalam Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2024, Terengganu dinobatkan sebagai negeri paling bahagia di Malaysia. Bagi Ahmad Amzad, angka ini hanyalah permulaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN