TERLETAK di Kampung Paya Keladi, Kepala Batas, Pulau Pinang, ZH Brew House bukan sekadar sebuah kafe biasa. Ia adalah sebuah pengalaman gastronomi yang menggabungkan keenakan kopi premium dan hidangan makanan ala Barat dalam suasana kampung yang damai dan menyenangkan.
ZH Brew House diasaskan oleh pasangan suami isteri, Siti Haszirah Hasan, 36, dan Zulfadhli Ahmad, 35, selepas melalui fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekitar tahun 2020.
Bermula sebagai sekadar hobi menyeduh (brew) kopi di rumah, minat itu akhirnya berkembang menjadi sebuah perniagaan yang kini mendapat tempat di hati pelanggan setia dan baharu.
Menurut Siti Haszirah, semasa PKP, dia dan suaminya banyak belajar mengenai kopi dan membeli mesin mengisar kopi sendiri di rumah.


“Mula-mula, saya beli mesin kopi dari Shopee sahaja. Lepas itu, buat untuk minum sendiri. Dari situ, kami mula menghidangkan kopi kepada ahli keluarga dan rakan-rakan. Tidak sangka pula ramai yang memuji kopi yang kami ‘brew’ sendiri,” katanya kepada Mingguan Malaysia, di sini.
Pujian dan dorongan daripada kenalan seterusnya membuatkan pasangan tersebut mula yakin untuk berniaga dari rumah mereka di Bertam, Pulau Pinang, bermula tahun 2021 selepas tamat PKP.
Menariknya, ruang tepi rumah mereka dijadikan tempat makan untuk pelanggan terutamanya pada hujung minggu untuk sarapan pagi.
“Waktu itu, ramai yang datang untuk sarapan. Kami mula sediakan makanan ala Barat, dan pelanggan pun suka suasana santai di rumah,” jelas beliau.
Namun, katanya, apabila permintaan semakin meningkat, mereka mengambil keputusan untuk menyewa sebuah premis kecil dan memulakan operasi secara rasmi di lokasi baharu.
“Pilihan lokasi di Kampung Paya Keladi memberikan keunikan tersendiri kepada pelanggan kami yang mana ia menawarkan suasana kampung yang tenang dan nostalgia kepada pengunjung yang menjamu selera.
“ZH Brew House kini beroperasi setiap hari kecuali Selasa, dengan waktu puncak pada hujung minggu apabila menu sarapan istimewa seperti Big Breakfast disediakan khas.
“Hidangan lain seperti croissant sandwich, pizza dan cheesy garlic bread tersedia setiap hari dan menjadi kegemaran ramai,” katanya yang memberitahu, antara tarikan utama di kafe itu semestinya adalah pilihan kopi mereka yang menggunakan biji kopi dari Brazil.
Siti Haszirah berkata, minuman yang menjadi signature mereka seperti caramel macchiato dan salted caramel latte menjadi pilihan pelanggan tetap dan baharu.
“Lebih istimewa, sos karamel digunakan dalam minuman ini disediakan sendiri oleh saya. Kami gunakan kopi Brazil yang telah dipanggang, kemudian digiling sendiri di kedai. Minuman signature kami memang caramel-based drinks sebab sos itu saya buat sendiri,” ujar beliau.
Katanya lagi, bagi pelanggan yang tidak meminum kopi, pilihan minuman non-coffee seperti matcha, strawberry matcha, dan teh strawberi turut tersedia, membuktikan variasi menu yang inklusif untuk semua cita rasa.
“ZH Brew House kini dikendalikan bersama empat pekerja sambilan dan seorang staf tetap. Kafe ini mula mendapat perhatian di media sosial, khususnya TikTok, dengan pelanggan baharu hadir selepas melihat video suasana dan hidangan yang dimuat naik.
“Alhamdulillah, ramai pelanggan berulang. Tapi yang baharu pun makin ramai selepas kami viral di FYP TikTok. Jadi, pelanggan datang bukan saja dari kawasan sekitar, tapi juga dari luar,” katanya.
Jelasnya, dengan harga berpatutan antara RM5 hingga RM16, ZH Brew House membuktikan bahawa keenakan makanan dan minuman premium boleh dinikmati dalam suasana yang mesra, tenang dan tidak membebankan poket.
“Konsep kopi dan makanan ala Barat di kampung ini boleh membuatkan kafe kami dianggap sebagai destinasi wajib singgah bagi pencinta kopi dan mereka yang mencari pengalaman unik menikmati sarapan ala Barat dalam suasana desa yang mendamaikan,” katanya.
Tambah beliau, ZH Brew House bukan sekadar tentang minuman dan makanan, ia tentang cerita tentang mereka suami isteri yang menjadikan minat sebagai sumber rezeki, dan tentang bagaimana cinta kepada kopi mampu menyatukan keluarga, rakan, dan komuniti.
Bagi mereka yang ingin menikmati keenakan kopi buatan sendiri sambil ditemani bunyi unggas kampung dan udara segar, ZH Brew House menjanjikan satu pengalaman gastronomi unik untuk anda sekeluarga. – UTUSAN








