Trump tuntut semula Pangkalan Udara Bagram dari Taliban

Trump tuntut semula Pangkalan Udara Bagram dari Taliban

KENDERAAN tentera Taliban menyertai perarakan sempena ulang tahun ketiga pentadbiran kerajaan Afghanistan di Pangkalan Udara Bagram. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump memberi amaran terhadap Afghanistan apabila menuntut negara yang kini dikuasai Taliban itu menyerahkan semula Pangkalan Udara Bagram kepada Washington.

“Jika Afghanistan tidak menyerahkan semula Pangkalan Udara Bagram kepada pihak yang membinanya, iaitu Amerika Syarikat, perkara buruk akan berlaku!!!” kata Trump, 79, menerusi hantaran di platform Truth Social.

Ugutan itu dibuat hanya beberapa hari selepas beliau mencetuskan idea untuk AS mengambil semula kawalan terhadap pangkalan udara terbesar di Afghanistan ketika lawatan rasmi ke Britain.

Bagram yang menjadi nadi operasi ketenteraan AS dalam perang menentang Taliban sejak serangan 11 September 2001, sering dikaitkan dengan pelbagai dakwaan pencabulan hak asasi manusia, khususnya terhadap tahanan dalam kempen “Perang Menentang Keganasan” yang dilancarkan Washington.

Trump sebelum ini beberapa kali melahirkan rasa kesal kerana kehilangan akses kepada Bagram yang terletak berhampiran China.

Namun, dalam sidang media bersama Perdana Menteri Britain, Keir Starmer minggu lalu, Trump buat pertama kali mendedahkan beliau giat berusaha mendapatkan semula pangkalan tersebut.

“Kami cuba untuk dapatkannya semula, ini boleh dianggap berita tergempar.

“Kami sedang berunding kerana mereka (Afghanistan) memerlukan sesuatu daripada kami,” katanya.

Tentera AS dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) meninggalkan Bagram secara tergesa-gesa pada Julai 2021 sebagai sebahagian daripada perjanjian damai yang ditandatangani semasa pentadbiran Trump.

Penarikan itu membuka laluan kepada kebangkitan semula Taliban sehingga akhirnya menguasai seluruh Afghanistan.

Sejak kembali berkuasa, Trump kerap menyelar keputusan penarikan pasukan dari Afghanistan yang dibuat semasa era Presiden Joe Biden, sambil mengaitkannya dengan kehilangan Bagram.

Trump juga lantang menyuarakan kebimbangannya terhadap pengaruh China yang semakin meningkat di Afghanistan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN