Trump gagal kotakan janji selesai genosid Gaza, perang Ukraine

Trump gagal kotakan janji selesai genosid Gaza, perang Ukraine

DONALD Trump berjabat tangan dengan Vladimir Putin dalam pertemuan di Anchorage, Alaska pada bulan lalu. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Bulan lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump lantang berjanji mampu menerajui usaha menyelesaikan dua konflik terbesar dunia, tetapi nada keyakinan itu kini mula hilang.

Sejak beberapa minggu lalu, beliau memilih mengambil pendekatan lebih pasif, seumpama berundur ke tempat duduk penumpang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau rundingan diplomatik untuk memandu usaha menghentikan peperangan di Gaza dan Ukraine yang sudah lama berlarutan itu.

Trump lebih cekap berunding berkaitan keuntungan ekonomi dan perniagaan, namun menonjolkan kepimpinan moral ketika mendepani krisis kemanusiaan dan keselamatan global jelas bukan ‘forte’ beliau walaupun mengakui layak menerima anugerah Nobel berhubung peranannya meredakan beberapa konflik di atas kertas.

Akhir Ogos lalu, pegawai Pentagon menyampaikan mesej keras kepada sekumpulan diplomat Eropah, menegaskan AS merancang memotong sebahagian bantuan keselamatan kepada Latvia, Lithuania dan Estonia, tiga negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang bersempadan dengan Russia.

Secara lebih luas, pegawai Pentagon, David Baker memberitahu kumpulan tersebut, Eropah perlu mengurangkan kebergantungan terhadap Washington kerana pentadbiran Trump kini mahu memberi tumpuan kepada keutamaan lain terutamanya isu pertahanan dalam negeri.

Beberapa diplomat Eropah bimbang langkah itu, yang pertama kali dilaporkan awal bulan ini, akal membeikelebihan besar kepada Presiden Russia, Vladimir Putin.

Pada Jumaat, kebimbangan itu meningkat apabila jet MiG-31 Russia dilaporkan menceroboh ruang udara Estonia selama kira-kira 10 minit sebelum dihalau keluar oleh pesawat F-35 Itali.

Beberapa jam kemudian, jet Russia mengganggu sebuah pelantar minyak Poland selepas dron Moscow ditembak jatuh di Warsaw minggu sebelumnya.

Reaksi AS terhadap insiden tersebut dilihat hambar, apabila Trump hanya memberi amaran ringkas ia boleh membawa kepada masalah besar.

BERALIH KE ISU DOMESTIK

Selepas berbulan-bulan mencadangkan idea menyelesaikan konflik paling sukar di dunia, Trump kini mula mengundurkan langkahnya dan menyerahkan lebih banyak tanggungjawab kepada negara sekutu untuk memimpin, dengan hanya janji samar bantuan AS.

Beliau semakin menumpukan perhatian kepada isu domestik, seperti memerangi jenayah, menghadapi apa yang disebutnya ekstremisme ganas sayap kiri, dan merombak program visa utama.

Selepas musim panas yang penuh usaha diplomasi, termasuk menganjurkan pertemuan dengan Putin di Alaska, Trump menggesa Kesatuan Eropah (EU) mengenakan sekatan keras terhadap pembeli minyak Russia jika mereka mengharapkan Washington mengetatkan tekanan kewangan terhadap Moscow berhubung perang di Ukraine.

Selepas beberapa bulan pertama pentadbirannya berusaha mengusahakan gencatan senjata antara Israel dan Hamas, beliau kebelakangan ini tidak mengambil pusing tindakan rejim Zionis yang kelihatan menjejaskan kemungkinan perjanjian untuk menamatkan perang di Gaza.

Pegawai Rumah Putih mengecam Israel kerana mengebom pejabat Hamas yang terletak di wilayah sekutu AS, Qatar tetapi tidak mengambil sebarang tindakan.

Apabila Israel melancarkan serangan darat kontroversi terhadap Gaza City, Trump tidak membantah dan memilih berdiam diri, walaupun sekutu Eropah dan Arab mengecam langkah itu yang dilihat bakal menggagalkan rundingan damai.

Tidak mengejutkan apabila Trump berwaspada terhadap penglibatan AS dalam konflik besar kerana beliau diketahui menghabiskan dua tahun di pentas kempen dengan hujah negara itu sudah terlalu terbeban secara ketenteraan.

Ketika sidang kemuncak NATO di Belanda pada akhir Jun lalu, Trump memberi isyarat menghantar sistem pertahanan Patriot baharu ke Ukraine selepas membedil tapak nuklear utama Iran sebagai tanda sokongan terhadap perang udara Israel.

Pada Julai, beliau meningkatkan ugutan sekatan dan tarif yang menyasarkan Moscow.

Namun kini, penganalisis berpendapat beliau kembali kepada pendirian asalnya yang lebih berhati-hati.

Bekas diplomat kanan AS dan felo kanan di Carnegie Endowment for International Peace, Aaron David Miller berkata, Trump mungkin baru menyedari konflik-konflik itu jauh lebih sukar daripada yang dibayangkannya.

“Trump tidak berminat untuk melakukan sesuatu melainkan beliau melihat usaha dan modal politik yang dilaburkan itu setimpal dengan pulangannya,” katanya.

DIPLOMASI TIDAK KONSISTEN

Pada April dan Mei, beliau secara terbuka mencadangkan untuk meninggalkan perang di Ukraine, hanya untuk kembali terlibat secara mendalam dalam isu itu.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sebahagian senjata AS mula dihantar ke Ukraine sebagai sebahagian daripada inisiatif bantuan keselamatan AS-NATO yang dipanggil program PURL.

Namun, penganalisis menyuarakan kebimbangan reaksi sederhana AS terhadap provokasi terbaharu Russia hanya akan menggalakkan Putin bertindak lebih agresif.

“Pengunduran AS yang lebih jauh akan membawa kepada lebih banyak tindakan provokatif daripada Putin kerana beliau kini melihat Eropah semakin lemah dan boleh dipecah-belahkan terutamanya tanpa AS untuk menyokong,” kata Felo Kanan di Atlantic Council, Alex Plitsas

Diplomat Eropah pula mengakui semakin letih dengan sikap Trump yang berubah-ubah, daripada memuji sekutu di sidang kemuncak NATO Jun lalu, kepada menggesa EU mengenakan tarif 100 peratus terhadap China dan India kerana membeli minyak Russia.

Beberapa diplomat memberi amaran jika sekali pun pendiriannya kembali tegas, ia mungkin sudah tidak lagi meyakinkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN