NEW YORK: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump dijangka mengemukakan pelan serta visinya bagi menamatkan perang Israel di Gaza dan masa depan wilayah Palestin tersebut ketika bertemu dengan pemimpin Arab dan Islam di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), esok.
Jurucakap Rumah Putih, Karoline Leavitt berkata, mesyuarat tersebut akan diadakan di luar sidang PBB bersama pemimpin dari Arab Saudi, Qatar, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Mesir, Jordan, Turkiye, Indonesia dan Pakistan.
Menurut sumber diplomatik yang dipetik saluran Israel Channel 12 serta portal Axios, Trump dijangka membentangkan cadangan berhubung pengunduran tentera Israel dari Gaza, penghantaran pasukan serantau bagi mengekalkan keamanan serta proses peralihan dan pembinaan semula yang bakal dibiayai pihak antarabangsa.
Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang turut hadir ke mesyuarat itu semalam menegaskan kesediaan negaranya menghantar pasukan pengaman ke Gaza.
“Kami bersedia mengambil bahagian dalam usaha perdamaian ini. Indonesia sanggup menghantar pasukan pengaman,” katanya ketika berucap pada sidang berkaitan penyelesaian dua negara yang dianjurkan Perancis dan Arab Saudi di PBB.
Cadangan pelan Trump itu dilaporkan bukan disediakan Israel, namun Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dimaklumkan mengenainya.
Israel dilaporkan tetap menolak sebarang penglibatan Hamas, sebaliknya berkemungkinan memberi peranan terhad kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA).
Hampir dua tahun sejak perang bermula, lebih 65,000 rakyat Palestin, majoritinya orang awam terkorban akibat serangan tentera Israel, menurut Kementerian Kesihatan Gaza.
Rundingan gencatan senjata yang sebelum ini menunjukkan perkembangan positif tergendala selepas Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas Qatar awal bulan ini, didakwa bertujuan membunuh kepimpinan tertinggi Hamas.
Sejak itu, tentera Israel terus menggempur Gaza City dengan tiga divisyen berperisai dan infantri, selain serangan udara berterusan yang memusnahkan kediaman, infrastruktur dan memaksa puluhan ribu penduduk Palestin melarikan diri ke selatan. -AGENSI










