Tiada perubahan di Gaza walaupun PBB isytihar kebuluran - Utusan Malaysia

Tiada perubahan di Gaza walaupun PBB isytihar kebuluran

SEORANG kanak-kanak Palestin menjamah nasi yang dimasak dengan jarinya selepas menerima hidangan dari dapur amal di Gaza City.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Ketua Misi Médecins Sans Frontières (MSF) di Gaza memberi amaran keadaan kemanusiaan dan perubatan di wilayah itu kekal pada tahap kritikal, tanpa sebarang penambahbaikan nyata meskipun Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) secara rasmi mengisytiharkan kebuluran.

Dalam kenyataan pada Ahad, ketua pasukan MSF berkata tiada apa yang boleh diharapkan daripada pengisytiharan PBB mengenai kebuluran di Gaza.

“Tiada perubahan berlaku, rakyat di sini masih kebuluran,” katanya.

Pada 22 Ogos lalu, Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong PBB secara rasmi mengesahkan kebuluran di Gaza, dengan meletakkan situasi itu pada Fasa 5: Malapetaka.

Menurut IPC, lebih setengah juta penduduk kini menderita kelaparan teruk, dengan kematian meluas, kemiskinan melampau serta tahap kekurangan zat makanan akut yang kritikal.

Krisis ini semakin parah sejak Mac apabila tentera Israel menutup lintasan sempadan Gaza, menyekat kemasukan makanan, ubat-ubatan, bahan api dan bekalan penting lain. Langkah itu mempercepatkan keruntuhan keadaan kemanusiaan di wilayah berkenaan.

Disokong Amerika Syarikat (AS), serangan ketenteraan Israel yang berlarutan sejak Oktober 2023 telah meragut lebih 223,000 nyawa dan mencederakan ribuan lagi, majoritinya wanita dan kanak-kanak. Lebih 9,000 orang masih dilaporkan hilang di bawah runtuhan bangunan.

MSF bersama pertubuhan kemanusiaan lain terus memberi amaran bahawa tanpa akses segera kepada bantuan, penduduk Gaza bakal berdepan tahap kebuluran dan keruntuhan sistem perubatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×