Tiada pelaksanaan darurat tentera bendung protes di Indonesia

Tiada pelaksanaan darurat tentera bendung protes ganas di Indonesia

ANGGOTA Tentera Nasional Indonesia ditempatkan di Jakarta bagi mengawal situasi daripada memburuk. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Tentera Nasional Indonesia (TNI) menegaskan tiada sebarang rancangan untuk melaksanakan darurat tentera walaupun gelombang demonstrasi besar-besaran melanda Jakarta dan beberapa wilayah lain sejak minggu lalu.

Wakil Panglima TNI, Jeneral Tandyo Budi Revita, menjelaskan kehadiran anggota tentera di sekitar ibu kota adalah sebahagian daripada usaha menyokong keselamatan yang diminta secara rasmi oleh pihak berkuasa sivil.

“Tindakan TNI adalah berlandaskan peraturan yang sah dan atas permintaan institusi berwajib, bukan untuk mengambil alih kuasa atau melaksanakan undang-undang darurat,” ujar Jeneral Tandyo dalam kenyataan media rasmi.

Beliau berkata, tanggungjawab utama dalam menangani demonstrasi masih terletak pada Polis Nasional (Polri), manakala TNI bertindak sebagai penyokong dalam koordinasi keselamatan mengikut arahan Presiden Prabowo Subianto.

Penjelasan ini dibuat susulan spekulasi meluas mengenai kehadiran ratusan anggota tentera di sekitar Monumen Nasional dan Istana Presiden bertujuan membuka jalan bagi pelaksana­an darurat tentera.

Spekulasi itu timbul selepas insiden rusuhan yang menyebabkan sekurang-kurangnya enam kematian serta kerosakan harta awam.

Prabowo sebelum ini mengarahkan Panglima TNI, Jeneral Agus Subiyanto, bersama Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo mempertingkatkan koordinasi dan kerjasama dalam mengawal situasi demonstrasi yang semakin tegang dan meluas di beberapa kawasan bandar utama.

Dalam keadaan yang masih tidak menentu ini, TNI dan Polri bekerjasama rapat untuk memastikan keamanan dan keselamatan awam terpelihara tanpa menjejaskan hak rakyat untuk bersuara secara aman.

Situasi di seluruh negara masih tidak stabil dengan kelmarin, ribuan penunjuk perasaan berhimpun dan berarak di beberapa bandar utama Indonesia bagi mezahirkan rasa tidak puas hati mereka terhadap kerajaan.

Sekurang-kurangnya 500 orang berhimpun di hadapan bangunan parlimen di Jakarta pada petang Isnin, diperhatikan puluhan anggota polis.

Di lokasi lain, ribuan lagi menyertai protes di Palembang, Sumatera, manakala ratusan berhimpun secara berasingan di Banjarmasin (Kalimantan), Yogyakarta (Pulau Jawa), dan Makassar (Sulawesi), menurut laporan wartawan AFP dari seluruh negara.

“Matlamat utama kami adalah untuk melakukan reformasi Parlimen. Kami mahu mereka keluar dan berjumpa kami. Mereka sepatutnya mewakili kami.

“Mereka mahu tunggu darurat tentera diisytihar dulu baru bertindak?,” kata Nafta Keisya Kemalia, 20, seorang penuntut universiti kepada AFP di luar bangunan Parlimen.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN