WASHINGTON: Presiden Perancis, Emmanuel Macron menegaskan Perancis tidak akan membuka kedutaan di negara Palestin yang bakal diiktiraf secara rasmi, selagi tebusan yang ditahan Hamas di Gaza tidak dibebaskan.
Kenyataan itu dibuat dalam satu temu bual bersama CBS News yang disiarkan pada Ahad, namun dirakam lebih awal pada Khamis lalu.
“Ia akan menjadi syarat jelas bagi kami, sebelum mengambil langkah seperti membuka kedutaan di Palestin,” kata Macron dalam rancangan Face the Nation.
Temu bual tersebut disiarkan ketika United Kingdom, Australia dan Kanada mengumumkan secara serentak pengiktirafan mereka terhadap kenegaraan Palestin, menandakan perubahan ketara dalam dasar luar negara-negara Barat sejak beberapa dekad lalu.
Langkah tersebut mencetuskan reaksi keras daripada Israel, yang kini berdepan tekanan antarabangsa berikutan perang berpanjangan terhadap Hamas serta krisis kemanusiaan yang semakin parah di Gaza.
Dalam temu bual yang sama, Macron turut memberi amaran keras terhadap sebarang rancangan untuk mengusir rakyat Palestin dari Gaza, wilayah yang mereka inginkan sebagai sebahagian daripada negara merdeka pada masa hadapan.
“Jika prasyarat kepada pelan itu adalah untuk menolak mereka keluar (dari Gaza), itu satu tindakan tidak masuk akal,” katanya.
“Kita tidak boleh demi kredibiliti Amerika Syarikat, demi kredibiliti Perancis bersikap sambil lewa, secara langsung mahupun tidak langsung, terhadap rancangan seperti itu,” katanya.









