WASHINGTON: Tindakan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menangguhkan bantuan senjata bernilai AS$400 juta (RM1.7 bilion) kepada Taiwan mencetuskan gelombang kebimbangan global.
Langkah dramatik ini dipercayai berkait rapat dengan usaha Trump mengadakan perjanjian perdagangan baharu dengan China.
Menurut laporan Washington Post, penangguhan itu melibatkan penghantaran peluru hidup dan dron autonomi dan berlaku hanya beberapa jam sebelum panggilan telefon antara Trump dan Presiden China, Xi Jinping.
Kedua-dua pemimpin dilaporkan mencapai ‘kemajuan produktif’ dalam isu perdagangan, fentanil, dan TikTok, namun langsung tidak menyebut soal Taiwan.
Langkah Trump ini menimbulkan persoalan besar iaitu adakah Taiwan dijadikan ‘umpan’ dalam rundingan AS-China? Penganalisis berpendapat penangguhan ini boleh memberi ruang kepada Beijing untuk mengambil kesempatan, sekaligus mengubah landskap geopolitik serantau.
“Trump mungkin menganggap ini hanya taktik sementara tetapi China boleh menggunakannya untuk menekan Taiwan dengan lebih agresif,” kata William Yang dari Crisis Group.
Beijing menganggap Taiwan sebagai wilayahnya sendiri dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekuatan ketenteraan untuk mencapainya.
Namun rakyat Taiwan menolak keras sebarang bentuk pemerintahan oleh Parti Komunis China (PKC) dan terus bergantung kepada sokongan ketenteraan dari Washington.
Presiden Taiwan, Lai Ching-te memberi reaksi tegas terhadap perkembangan ini dengan menegaskan, untuk mengelakkan perang dan mempertahankan keamanan, negara kepulauan itu mesti terus memperkukuh pertahanan dan ketahanan masyarakat.
Taiwan kini merancang meningkatkan perbelanjaan pertahanannya kepada lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2030, sebagai persediaan terhadap sebarang kemungkinan.
Ketika penggal pertamanya, Trump meluluskan jualan senjata ke Taiwan melebihi AS$10 bilion (RM42 bilion) iaitu jumlah tertinggi sejak 1990-an.
Namun dalam penggal kedua, beliau mula mempersoalkan keperluan menyokong Taiwan dan mencadangkan negara itu membayar untuk perlindungan AS.
Amanda Hsiao dari Eurasia Group percaya sokongan AS belum terhenti sepenuhnya.
“Jualan senjata dan lawatan transit presiden Taiwan mungkin akan disambung semula selepas lawatan Trump ke China,” katanya.
Berita penangguhan ini mengejutkan para peserta di Ekspo Pertahanan Taipei minggu ini.
Kebanyakan syarikat pertahanan terkemuka khuatir dan ada yang dilaporkan panik mencari maklumat secara dalam talian apabila ditanya mengenai situasi semasa.










