ŞANLIURFA: Ahli arkeologi menemukan satu lagi penemuan bersejarah apabila struktur purba yang dipercayai mungkin penempatan manusia terawal dunia berjaya digali di tapak Mendik Tepe, berhampiran kawasan bersejarah Göbekli Tepe, Şanlıurfa, Turkiye.
Penemuan itu dijangka mengubah pemahaman sejarah peradaban awal manusia kerana struktur berusia lebih 12,000 tahun itu dipercayai lebih tua daripada Göbekli Tepe, sekali gus mendahului pembinaan Stonehenge sekitar 7,000 tahun.
Tapak yang terletak di kawasan pedalaman daerah Eyyübiye, Şanlıurfa itu merupakan sebahagian daripada rangkaian penempatan prasejarah di Fertile Crescent, wilayah yang dianggap sebagai pusat perkembangan tamadun awal manusia.
Berbeza dengan Göbekli Tepe yang terkenal dengan tiang batu berbentuk ‘T’ dan ukiran haiwan, Mendik Tepe menampilkan batu tegak berbentuk segi empat tepat yang menunjukkan identiti seni bina dan budaya berbeza.
Sejak kerja penggalian bermula pada tahun lalu, pasukan penyelidik menemui pelbagai struktur berbentuk bujur, termasuk tembok batu yang kukuh dan serpihan bekas batu berhias, bukti kewujudan masyarakat awal yang mahir membina serta berkemahiran seni tinggi.
Prof. Douglas Baird yang mengetuai penggalian menjelaskan, kerja analisis awal menunjukkan Mendik Tepe mungkin bermula seawal fasa pertama Zaman Neolitik, sekali gus mendahului tapak Göbekli Tepe dan Karahantepe.
Penemuan ini mengukuhkan teori kawasan Şanlıurfa menjadi pusat perkembangan komuniti tetap, seni bina monumental dan percubaan awal pertanian yang akhirnya mencetuskan revolusi pertanian.
Projek Taş Tepeler yang dilancarkan oleh Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan Turkiye kini merangkumi lebih sedozen tapak purba, termasuk Göbekli Tepe, Karahantepe, Çakmak Tepe dan Sayburç, yang secara keseluruhannya mengubah naratif sejarah perkembangan manusia.
Selain itu, penyelidik juga menemui bukti mengejutkan dengan satu daripada struktur batu di tapak itu berfungsi sebagai kalendar astronomi tertua dunia.










