Singapura pertimbang iktiraf Palestin jika perang Gaza berlarutan - Utusan Malaysia

Singapura pertimbang iktiraf Palestin jika perang Gaza berlarutan

PLAKAD tertulis 'hentikan keganasan Israel' diletakkan di pagar sempadan Israel-Gaza. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SINGAPURA: Singapura akan menilai semula pendiriannya berhubung pengiktirafan terhadap sebuah negara Palestin sekiranya keadaan di rantau itu terus meruncing atau Israel mengambil langkah yang menggagalkan penyelesaian dua negara, kata Menteri Luar, Dr. Vivian Balakrishnan.

Beliau berkata, republik itu sejak dahulu konsisten menyokong penyelesaian dua negara yang dirundingkan bagi menamatkan konflik Palestin-Israel.

“Kami akan mengiktiraf Palestin apabila wujud sebuah kerajaan berkesan yang mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan menolak keganasan secara menyeluruh,” katanya ketika menyampaikan kenyataan menteri di Parlimen, semalam.

Kenyataan itu hadir susulan keputusan Britain, Kanada, Australia dan Portugal mengiktiraf Palestin kelmarin sebagai tanda sokongan terhadap usaha merealisasikan penyelesaian dua negara, sekali gus menyertai lebih 140 negara lain yang telah berbuat demikian.

Israel bagaimanapun dilaporkan berang dengan langkah tersebut.

Menurut Dr. Balakrishnan, Singapura menentang sebarang tindakan unilateral Israel termasuk peluasan penempatan haram yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

“Singapura tidak boleh menerima sebarang pengilhakan secara unilateral terhadap wilayah Palestin kerana ia bercanggah dengan undang-undang antarabangsa. Kami menggesa Israel menghentikan pembinaan serta peluasan penempatan baharu,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau mengumumkan Singapura akan mengenakan sekatan disasarkan terhadap pemimpin kumpulan pelampau sayap kanan Yahudi yang terbukti melakukan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.

Menyentuh situasi di Gaza, Dr. Balakrishnan menegaskan operasi ketenteraan Israel sudah melampau dan berlarutan sehingga mengakibatkan penderitaan besar terhadap orang awam.

“Jumlah kematian yang mencecah lebih 60,000 jiwa, termasuk sepertiga daripadanya kanak-kanak, adalah amat menggerunkan. Singapura mengecam keras pembunuhan orang awam yang tidak berdosa,” katanya.

Beliau turut menegaskan sekatan terhadap bantuan kemanusiaan ke Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mungkin melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

Dr. Balakrishnan turut memaklumkan Singapura sudah menyalurkan 10 siri bantuan kemanusiaan dengan jumlah keseluruhan melebihi S$24 juta (RM786 juta), termasuk sokongan kepada hospital Mesir serta penempatan pegawai tentera di Kaherah bagi menyelaras misi bantuan.

Selain itu, Singapura juga akan menyumbang kepada inisiatif Jordan bagi membantu rakyat Palestin yang kehilangan anggota tubuh serta menyalurkan AS$500,000 (RM21 juta) kepada Program Makanan Sedunia (WFP) untuk menangani kebuluran di Gaza. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN