NEW YORK: Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) mendedahkan rejim Israel kini mengepung hampir 500,000 penduduk Palestin di Gaza City, memaksa mereka berhimpit dalam kawasan seluas tidak melebihi lapan kilometer persegi, bersamaan lebih 70,000 orang setiap kilometer persegi.
Jurucakap UNRWA, Adnan Abu Hasna, berkata situasi ini mencetuskan krisis pelarian berskala ekstrem, dengan puluhan ribu keluarga hidup tanpa tempat berteduh, bahkan tanpa ruang untuk mendirikan sebuah khemah.
“Penduduk kini berada dalam keadaan yang lebih sesak daripada mana-mana zon perang moden. Ini bukan hanya krisis pelarian, tetapi satu bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di depan mata dunia,” tegas beliau.
Dalam laporan rasmi bertarikh 22 Ogos, Inisiatif Klasifikasi Fasa Keselamatan Makanan Bersepadu (IPC) yang disokong oleh agensi-agensi PBB, mengesahkan bahawa kebuluran telah berlaku di Gaza, selepas kadar kelaparan dan kekurangan zat makanan akut melepasi piawaian antarabangsa Fasa 5 – tahap tertinggi dalam skala krisis makanan global.
Pihak PBB menjangkakan krisis ini akan merebak ke wilayah Deir al-Balah dan Khan Yunis menjelang akhir September, selagi sekatan terhadap kemasukan makanan dan ubat-ubatan masih berterusan.
PBB memberi amaran bahawa penduduk Gaza kini berdepan salah satu bencana kemanusiaan paling dahsyat dalam sejarah moden, menyifatkan situasi ini sebagai “beyond catastrophic” – di luar keupayaan agensi bantuan untuk bertindak balas tanpa gencatan senjata serta-merta dan akses bantuan tanpa halangan.
UNRWA dan agensi kemanusiaan antarabangsa terus menyeru komuniti global agar menekan Israel untuk membenarkan laluan bantuan, memandangkan lebih satu juta rakyat Palestin kini bergantung sepenuhnya kepada sokongan luar untuk terus hidup.