Serangan siber terus jejaskan penerbangan di Eropah - Utusan Malaysia

Serangan siber terus jejaskan penerbangan di Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BRUSSELS: Serangan siber terhadap sistem daftar masuk dan pelepasan penumpang yang memasuki hari kedua terus menyebabkan kelewatan serta pembatalan puluhan penerbangan di kebanyakan lapangan terbang utama Eropah.

Lapangan terbang Heathrow di London yang merupakan lapangan terbang paling sibuk di benua itu antara paling teruk terjejas.

Insiden ini disahkan berpunca daripada perisian MUSE keluaran Collins Aerospace, yang digunakan oleh pelbagai syarikat penerbangan di seluruh dunia.

Syarikat induknya, RTX, mengesahkan berlaku gangguan berkaitan siber terhadap sistem berkenaan di beberapa lapangan terbang, namun enggan menamakan lokasi spesifik.

Gangguan itu memberi kesan langsung kepada daftar masuk elektronik dan sistem penurunan bagasi, memaksa kakitangan lapangan terbang kembali menggunakan kaedah manual.

Heathrow, Brussels, dan Berlin melaporkan gangguan ketara, manakala Dublin dan Cork turut mengesahkan impak berskala kecil.

Laporan daripada penyedia data penerbangan Cirium menunjukkan setakat 11.30 pagi waktu tempat, sekurang-kurangnya 29 penerbangan dibatalkan di ketiga-tiga lapangan terbang berkenaan. Secara keseluruhan, lebih 1,000 penerbangan dijadualkan berlepas dari Heathrow, Brussels dan Berlin pada hari yang sama.

Lapangan Terbang Brussels mengesahkan terdapat empat penerbangan yang terpaksa dilencongkan dan meminta separuh daripada penerbangan yang dijadualkan berlepas pada Ahad dibatalkan bagi mengelakkan kesesakan dan pembatalan saat akhir.

Isyarat ini menunjukkan gangguan dijangka berlanjutan sekurang-kurangnya sehingga hujung minggu.

Pihak Suruhanjaya Eropah dalam satu kenyataan berkata tiada bukti setakat ini menunjukkan serangan itu merupakan insiden berskala besar atau terancang, namun siasatan lanjut sedang dijalankan.

Pakar keselamatan siber menyifatkan gangguan seperti ini berkemungkinan besar berpunca daripada serangan ransomware atau sabotaj digital secara sengaja. Menurut Rafe Pilling dari syarikat keselamatan Sophos, insiden ini membuktikan betapa rapuh dan saling bergantungnya ekosistem digital yang menyokong operasi penerbangan antarabangsa.

Tahun lalu, Collins Aerospace pernah dilaporkan menjadi sasaran penggodam yang menuntut wang tebusan, namun syarikat itu tidak memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan tersebut, mahupun terhadap kejadian semalam.

Dalam pada itu, penumpang dibiarkan menunggu tanpa maklumat yang jelas. Di Berlin, beberapa pelancong memberitahu media mereka hanya dimaklumkan berlaku masalah teknikal, dan mendapat maklumat sebenar hanya selepas menyemak berita dalam talian.

Ada yang menyifatkan serangan sebegini sebagai sesuatu yang “tidak masuk akal” dalam era teknologi moden, dan mempersoalkan tahap keselamatan siber yang lemah di sektor penerbangan.

Di Heathrow, suasana menjadi tegang apabila penumpang beratur panjang di kaunter daftar masuk dan perkhidmatan pelanggan. Beberapa pegawai keselamatan dilihat mengawal aliran orang ramai bagi mengelakkan kekecohan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×