ARIZONA: Erika Kirk mengejutkan ribuan hadirin apabila secara terbuka memaafkan individu yang didakwa menembak mati suaminya, aktivis konservatif terkenal Amerika Syarikat (AS), Charlie Kirk dalam satu majlis memperingati mendiang di sini, pada Ahad.
“Saya maafkan dia,” kata Erika dengan tenang, disambut tepukan gemuruh para hadirin yang berdiri menghormati keberaniannya.
Dalam ucapannya, Erika menegaskan kebencian tidak sepatutnya dibalas dengan kebencian, sebaliknya dia memilih untuk menzahirkan pengampunan, sesuatu yang menurutnya selari dengan perjuangan mendiang suaminya.
“Charlie berjuang menyelamatkan anak-anak muda daripada hidup yang dikawal oleh dendam dan kemarahan termasuk mereka yang seperti suspek yang meragut nyawanya,” ujarnya.
Erika turut berkongsi tentang kehidupan peribadi mereka, menggambarkan perkahwinannya bersama Charlie sebagai satu anugerah yang tidak ternilai.
“Perkahwinan saya bersama Charlie adalah perkara terbaik yang pernah berlaku dalam hidup saya,” katanya.
Dia kemudian menyentuh mengenai tanggungjawab sebagai seorang ibu, dan menyeru para ibu yang hadir supaya menghargai peranan tersebut sebagai amanah yang paling utama dalam kehidupan mereka.
Charlie maut selepas ditembak ketika menghadiri sebuah acara di Utah pada 10 September lalu. Kes itu kini dalam siasatan, dan suspek ditahan serta didakwa bagi tuduhan membunuh.
Kematiannya mencetuskan kejutan besar dalam kalangan masyarakat konservatif dan pemimpin politik Republikan.
Charlie merupakan Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama Turning Point USA, sebuah organisasi belia konservatif yang ditubuhkan pada tahun 2012.
Berpangkalan di Chicago, organisasi itu memberi tumpuan kepada memupuk pemikiran konservatif dalam kalangan pelajar kolej dan universiti, termasuk isu seperti cukai rendah dan pengurangan kuasa kerajaan.
Menerusi pendekatan retorik yang lantang dan gaya komunikasi yang sesuai dengan generasi muda, Charlie berjaya membina pengaruh besar dalam kalangan belia Republikan.
Dia juga dikenali sebagai sekutu rapat kepada Presiden Donald Trump dan kerap dijemput menghadiri acara rasmi Parti Republikan.










