JAKARTA: Kediaman peribadi Menteri Kewangan Indonesia, Sri Mulyani Indrawati, di Jalan Mandar X, Bintaro Sektor 3A, Tangerang Selatan, kini berada di bawah kawalan ketat anggota Tentera Nasional Indonesia (TNI) susulan insiden pencerobohan dan penjarahan yang berlaku awal pagi Ahad.
Menurut saksi tempatan, kumpulan penceroboh yang tidak dikenali dipercayai datang dalam dua gelombang sekitar pukul 12.30 tengah malam dan sekali lagi pada 2.30 pagi.
Mereka memecah masuk rumah bertingkat bercat putih itu sebelum melarikan pelbagai barangan termasuk televisyen, pakaian, pinggan mangkuk, kasut dan minyak wangi.
Rumah tersebut tidak berpenghuni ketika kejadian dan hanya dijaga oleh pembantu rumah, memandangkan keluarga Sri Mulyani tidak menetap di situ.
Pasukan TNI dilaporkan mula mengawal kawasan sekitar pukul 3 pagi.
Menjelang pukul 9.20 pagi, laluan ke kawasan rumah telah ditutup kepada umum dan hanya penduduk setempat dibenarkan melintas.
Wartawan hanya dibenarkan memantau dari jarak jauh, manakala dua lori putih dilihat memuatkan barangan rosak dari lokasi kejadian.
Insiden ini berlaku dalam suasana ketidakstabilan sosial yang semakin meningkat, dengan beberapa kediaman ahli politik lain turut menjadi sasaran. Antara rumah yang dilaporkan diceroboh termasuk milik tokoh politik Ahmad Sahroni, Eko Patrio, dan selebriti Uya Kuya.
Pihak berkuasa masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca serta rangkaian di sebalik siri pencerobohan ini.
Dalam pada itu, khabar angin mengenai kemungkinan peletakan jawatan Sri Mulyani susulan kejadian tersebut telah dinafikan oleh Menteri Koordinator Bidang Perekonomian, Airlangga Hartarto.
Beliau mengesahkan kehadiran Sri Mulyani dalam mesyuarat kabinet yang dipengerusikan Presiden Prabowo Subianto pada hari yang sama, walaupun beliau tidak membuat sebarang pembentangan.
Kehadiran itu sekali gus menolak spekulasi mengenai pengunduran beliau daripada kabinet.










