LONDON: Lebih 3,900 penggiat seni filem termasuk pengarah, pelakon, selebriti Hollywood dan karyawan industri perfileman antarabangsa berikrar untuk memboikot institusi filem Israel yang didakwa bersekongkol dalam genosid serta dasar apartheid terhadap rakyat Palestin.
Antara nama besar yang menandatangani ikrar itu ialah Mark Ruffalo, Yorgos Lanthimos, Ava DuVernay, Asif Kapadia, serta pelakon yang juga pemenang Oscar seperti Olivia Colman, Emma Stone, Tilda Swinton, Rooney Mara dan Julie Christie.
Mereka menyatakan komitmen untuk tidak menayangkan filem atau bekerjasama dengan festival, pawagam, penyiar dan syarikat produksi yang didakwa berperanan membersihkan imej atau menghalalkan genosid dan apartheid, atau menjalin kerjasama dengan kerajaan yang melakukannya.
Kenyataan itu diterbitkan oleh kumpulan Film Workers for Palestine, yang menegaskan, sebagai pembikin filem, pelakon, pekerja industri filem dan institusi, mereka mengakui kuasa sinema dalam membentuk persepsi’.
“Dalam detik genting ini, ketika banyak kerajaan dunia membiarkan pembunuhan berterusan di Gaza, kami mesti melakukan segala yang mungkin untuk menentang keterlibatan dalam kengerian tersebut,” kata kenyataan itu.
Mereka turut merujuk kepada boikot budaya antarabangsa yang pernah menjadi faktor penting dalam menamatkan apartheid di Afrika Selatan, sambil menyatakan gesaan ini adalah tindak balas terhadap seruan artis Palestin agar industri filem global melakukan segala yang mampu bagi menamatkan penglibatan dalam penindasan mereka.
Dalam dokumen penjelasan mengenai ikrar tersebut, kumpulan itu mendakwa sebahagian besar syarikat produksi dan pengedaran filem Israel, ejen jualan, pawagam dan institusi filem lain tidak pernah menyokong sepenuhnya hak rakyat Palestin yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, meskipun mengakui terdapat segelintir institusi Israel yang tidak terlibat.
Ikrar itu juga menekankan tindakan ini menyasarkan institusi yang bersekongkol, bukan identiti peribadi, dan tidak menghalang kerjasama dengan individu dari Israel.
Jelas kenyataan itu, terdapat juga dua juta rakyat Palestin yang memegang kewarganegaraan Israel dan masyarakat sivil Palestin telah merangka garis panduan khusus untuk komuniti tersebut.
“Sebagai keturunan mangsa Holocaust, saya berasa kecewa dan marah dengan tindakan kerajaan Israel yang selama beberapa dekad mengekalkan sistem apartheid ke atas rakyat Palestin, merampas tanah mereka dan kini melaksanakan genosid serta pembersihan etnik di Gaza.
“Dalam konteks ini, saya tidak boleh menyokong karya saya diterbitkan atau dipentaskan di Israel,” kata penulis dan pengarah terkemuka British-Yahudi, David Farr, yang juga menandatangani ikrar tersebut. -AGENSI











