Rancang pembangunan semula, AS bakal tadbir Gaza satu dekad?

Rancang pembangunan semula, AS bakal tadbir Gaza satu dekad?

SEJUMLAH kenderaan yang membawa barangan penduduk Palestin menuju ke selatan Gaza selepas Israel mengeluarkan arahan berpindah besar-besaran. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mencadangkan Semenanjung Gaza diletakkan di bawah kawalan langsung AS selama satu dekad, selain menawarkan insentif kewangan kepada ratusan ribu rakyat Palestin untuk berpindah keluar secara sukarela.

Cadangan itu yang digelar sebagai GREAT Trust (Gaza Reconstitution, Economic Acceleration and Transformation), bertujuan membina semula Gaza sebagai hab pelancongan dan teknologi bernilai tinggi, dengan harapan ia mampu menjadi ‘Riviera Asia Barat’, seperti yang pernah dibayangkan Trump dalam kenyataannya sebelum ini.

Dokumen pembentangan setebal 38 halaman itu yang diperoleh The Washington Post mendedahkan Gaza akan ditadbir melalui satu bentuk pentadbiran amanah antarabangsa yang dikendalikan oleh AS selama kira-kira 10 tahun, sebelum ia diserahkan kepada sebuah entiti Palestin bebas.

BAYARAN TUNAI, MAKANAN UNTUK PINDAH

Satu daripada komponen paling mengejutkan dalam pelan ini ialah cadangan menawarkan bayaran tunai sebanyak AS$5,000 (RM21,122) kepada mana-mana rakyat Palestin di Gaza yang bersetuju berpindah keluar, sama ada secara sementara atau kekal.

Mereka juga akan menerima subsidi sewa penempatan selama empat tahun di luar Gaza serta bantuan makanan selama satu tahun penuh.

Anggaran dalam dokumen tersebut menyatakan 25 peratus daripada lebih dua juta penduduk Gaza dijangka mengambil tawaran itu sepanjang tempoh pembinaan semula.

Daripada jumlah itu, dianggarkan tiga per empat bersamaan 375,000 orang akan meninggalkan Gaza secara kekal.

Menurut dokumen itu, langkah migrasi ini dianggap sebagai satu bentuk ‘pengurangan beban demografi’ yang akan membuka ruang kepada pelaburan dan pembangunan semula yang lebih tersusun.

PEMBANGUNAN MEGA MENGUNTUNGKAN

Sepanjang dekad di bawah pentadbiran AS, Gaza akan dibangunkan semula melalui pelaburan awam dan swasta dengan tumpuan kepada sektor pelancongan, teknologi dan infrastruktur moden.

Antara projek yang dirancang termasuk kilang kenderaan elektrik, pusat data berteknologi tinggi, resort pantai, dan kompleks perumahan mewah.

KESAN kemusnahan di satu kawasan di Gaza City akibat bedilan udara tentera Israel. – AFP

Model kewangan dalam pelan ini dibangunkan oleh sebuah pasukan dari Boston Consulting Group (BCG) yang berpangkalan di Washington dan sebelum ini terlibat dalam inisiatif Gaza Humanitarian Foundation yang disokong oleh AS dan Israel.

Para perunding meramalkan pelaburan awal sebanyak AS$100 bilion (RM422 bilion) dalam tempoh 10 tahun akan memberikan pulangan empat kali ganda kepada para pelabur. Dokumen itu menyatakan kos boleh dikurangkan dengan menggalakkan lebih ramai penduduk Gaza berhijrah serta meningkatkan sumbangan bantuan antarabangsa.

PERJANJIAN ABRAHAM

Pelan ini juga menyatakan setelah Gaza ‘dinyahtentera dan dinyahradikalkan’, pentadbiran amanah akan menyerahkan kuasa kepada satu entiti Palestin bebas, yang kemudiannya akan menyertai

Perjanjian Abraham Accords iaitu perjanjian normalisasi antara Israel dan beberapa negara Arab yang dirintis oleh Trump pada penggal pertamanya.

Namun, Rumah Putih dan Jabatan Negara AS enggan mengulas apabila ditanya oleh media.

BCG pula menyatakan pelan ini belum diluluskan secara rasmi, dan dua orang rakan kongsi kanan yang terlibat dalam pembangunan model tersebut telah dipecat.

Seorang sumber yang terlibat dalam perancangan memberitahu The Washington Post dokumen itu disiapkan pada April lalu dan hanya mengalami perubahan kecil sejak itu.

Cadangan ini timbul selepas satu pertemuan tertutup di Rumah Putih pada Rabu lalu yang dihadiri oleh Trump bersama beberapa tokoh utama termasuk Setiausaha Negara Marco Rubio, utusan khas Steve Witkoff, bekas Perdana Menteri UK Tony Blair, dan menantu Trump, Jared Kushner.

Menurut The Sunday Times, Blair yang terlibat dalam usaha merangka pelan pascaperang Gaza sejak beberapa bulan lalu memberitahu Trump rakyat Gaza terdesak untuk kepimpinan baharu dan mengimpikan untuk menjadi seperti Dubai.

TRUMP TIDAK YAKIN

Channel 12 Israel mendedahkan Trump kini hilang keyakinan terhadap rundingan gencatan senjata dan pembebasan tebusan. Beliau mendesak Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mempercepatkan kekalahan Hamas sepenuhnya melalui operasi ketenteraan berskala penuh.

Trump dilaporkan percaya Hamas boleh ditewaskan “dalam tempoh dua minggu” dan yakin beliau sudah pun mencapai misi membebaskan majoriti tebusan, terutamanya selepas pembebasan tebusan berkembar AS-Israel, Edan Alexander, pada bulan Mei.

Trump sebelum ini menyokong usaha Witkoff untuk merundingkan perjanjian tebusan, dan dikatakan optimis apabila Hamas kembali ke meja rundingan bersama perantara dari Qatar pada Julai lalu.

Namun, apabila Hamas mengetatkan semula tuntutan mereka dan tekanan antarabangsa terhadap Israel meningkat, Trump dikatakan “hilang sabar” dan mula mempersoalkan kejujuran perantara Qatar.

REAKSI DUNIA

Pelan Trump yang meletakkan Gaza di bawah kawalan AS dan menggalakkan perpindahan penduduk Palestin dijangka mencetuskan bantahan besar-besaran daripada masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB), Liga Arab, dan pertubuhan hak asasi manusia global.

Ramai pemerhati menyifatkan cadangan ini sebagai bentuk ‘penjajahan moden’ yang boleh melanggar undang-undang antarabangsa serta hak pelarian Palestin yang dilindungi di bawah Konvensyen Geneva.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN