Putin akan bincang rundingan damai dengan Ukraine di China - Utusan Malaysia

Putin akan bincang rundingan damai dengan Ukraine di China

VLADIMIR PUTIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIANJIN: Presiden Russia, Vladimir Putin semalam mendedahkan persefahaman yang dicapai bersama Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada sidang kemuncak Ogos lalu membuka laluan ke arah perdamaian di Ukraine.

Putin berkata, perkembangan itu akan diperincikan ketika pertemuan dua hala bersama pemimpin-pemimpin dunia yang menghadiri Sidang Kemuncak Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) di Tianjin yang dipengerusikan Presiden China, Xi Jinping.

“Kami amat menghargai usaha dan cadangan yang dikemukakan oleh China dan India untuk mencari penyelesaian krisis Ukraine. Persefahaman yang dicapai menerusi mesyuarat Rusia-AS baru-baru ini juga diharap mampu menyumbang ke arah matlamat tersebut,” katanya.

Menurut Putin, perbincangan bersama Trump yang berlangsung di Alaska telah membuahkan hasil awal dan kini beberapa langkah susulan sedang giat dijalankan bagi meredakan konflik tersebut.

“Untuk mencapai penyelesaian jangka panjang yang berkekalan, punca sebenar krisis perlu ditangani,” tegasnya sambil mengulangi dakwaan Barat cuba membawa Ukraine menyertai NATO, sekali gus mencetuskan ketegangan.

Selain Putin, sidang kemuncak SCO yang berlangsung dari 31 Ogos hingga 1 September itu turut disertai Perdana Menteri India, Narendra Modi, serta pemimpin dari Asia Tengah, Asia Barat, Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Dalam perkembangan lain, Presiden Indonesia, Prabowo Subianto yang dijadual menghadiri sidang kemuncak itu serta perbarisan sempena ulang tahun Perang Dunia Kedua di Beijing pada 3 September, membatalkan lawatannya pada saat akhir ekoran gelombang protes besar-besaran di negara itu.

Protes yang berpunca daripada isu elaun tambahan untuk ahli parlimen dan tuntutan perumahan itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya lima nyawa.

Jurucakap Kementerian Luar China, Guo Jiakun, ketika diminta mengulas perkembangan tersebut berkata, Beijing memahami dan menghormati keputusan Jakarta serta berharap langkah berkesan diambil untuk melindungi warga China di negara berkenaan.

“Wakil Indonesia tetap akan menghadiri sidang kemuncak dan perbarisan tentera itu,” katanya pada sidang media berkala. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN