KARUR: Sekurang-kurangnya 39 orang maut dan lebih 50 lagi cedera dalam satu kejadian rempuhan semasa perhimpunan politik yang dianjurkan oleh pelakon terkenal Tamil, Vijay di daerah Karur pada Sabtu
Ketua Menteri Tamil Nadu, M.K. Stalin, mengesahkan lapan kanak-kanak dan 16 wanita antara mangsa terkorban dalam insiden tragik tersebut yang berlaku semasa kempen parti politik baharu Vijay, Tamilaga Vettri Kazhagam (TVK).
“Insiden malang semasa perhimpunan politik di Karur ini amat menyedihkan,” kata Perdana Menteri India, Narendra Modi, dalam kenyataan di platform X.
Vijay menubuhkan parti politiknya pada 2024 dan menarik ribuan penyokong di setiap hentian jelajah politiknya di seluruh negeri.
Menurut Ahli Parlimen negeri, Senthil Balaji, seramai 58 orang dimasukkan ke hospital selepas rempuhan berlaku ketika orang ramai berebut mendekati kenderaan membawa Vijay.
Rakaman media menunjukkan puluhan ribu penyokong mengerumuni kenderaan kempen dengan Vijay berdiri di atas kenderaan sambil berucap dan melemparkan botol air kepada penyokong yang pengsan akibat sesak dan panas.
“Hati saya hancur. Saya berada dalam kesakitan dan kesedihan yang tidak dapat digambarkan,” kata Vijay dalam X.
Dia juga dilihat menyeru pihak polis untuk membantu mengawal situasi selepas keadaan menjadi tidak terkawal.
Ketua Menteri Stalin mengumumkan pampasan sebanyak satu juta rupee (RM47,611) kepada setiap keluarga mangsa yang terkorban. Sebuah panel siasatan khas turut ditubuhkan bagi menyiasat punca tragedi tersebut.