Puluhan kereta kebal Israel ceroboh kawasan kediaman utama Gaza City

Puluhan kereta kebal Israel ceroboh kawasan kediaman utama Gaza City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA CITY: Puluhan kereta kebal dan kenderaan tentera Israel dilaporkan menceroboh masuk ke kawasan penempatan utama di Gaza City ketika serangan darat rejim tersebut memasuki hari ketiga dengan matlamat menawan daerah berkenaan.

Rakaman video yang tular menunjukkan kereta kebal, jentolak dan kenderaan perisai bergerak di pinggir Sheikh Radwan, sebuah kawasan padat penduduk di utara Gaza City.

Kepulan asap tebal kelihatan ketika tentera Israel melepaskan tembakan artileri serta bom asap bagi melindungi pergerakan mereka.

Sheikh Radwan sebelum ini menjadi penempatan puluhan ribu penduduk dan dikenali sebagai antara daerah paling padat di Gaza.

Menurut kenyataan Angkatan Pertahanan Israel (IDF), operasi di Gaza City bertujuan membebaskan tebusan serta menewaskan kira-kira 3,000 pejuang Hamas di kawsan didakwa kubu terakhir kumpulan itu.

Tindakan berkenaan dikecam hebat oleh masyarakat antarabangsa termasuk lebih 20 pertubuhan bantuan kemanusiaan utama seperti Save the Children dan Oxfam yang menyifatkan keadaan di Gaza sebagai tidak berperikemanusiaan.

Penduduk tempatan memaklumkan serangan darat di Sheikh Radwan didahului dengan pengeboman udara besar-besaran yang menyasarkan bangunan serta jalan utama di kawasan tersebut.

Sheikh Radwan meliputi kawasan Abu Iskandar, al-Tawam dan al-Saftawi serta dihubungkan oleh Jalan al-Jalaa, laluan penting yang menghubungkan pusat bandar Gaza dengan kawasan utara.

Penduduk bimbang penguasaan Israel ke atas Sheikh Radwan akan membuka laluan tentera mara lebih jauh ke pusat bandar.

Insiden pencerobohan itu turut mencetuskan gelombang perpindahan baharu apabila ribuan keluarga melarikan diri ke selatan.

Sebelum perang, Sheikh Radwan menjadi antara daerah tersibuk di Gaza City dengan sekolah, masjid dan pasar yang padat namun kini, kebanyakan kawasan itu sudah musnah akibat serangan udara berbulan-bulan.

Menurut IDF, lebih 150 sasaran di Gaza City diserang dalam tempoh dua hari lalu bagi menyokong kemaraan tenteranya.

Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta agensi bantuan memberi amaran kawasan ‘selamat’ yang diarahkan tentera Israel sebagai zon pemindahan kini terlalu sesak dan tidak mampu menampung kira-kira dua juta penduduk Gaza.

Ada yang berpindah ke zon itu mengadu tiada ruang untuk mendirikan khemah, memaksa mereka kembali ke utara.

Menurut IDF, sebanyak 350,000 penduduk sudah meninggalkan Gaza City, manakala PBB menganggarkan jumlah itu sekitar 190,000 sejak Ogos.

Sekurang-kurangnya 650,000 orang dilaporkan masih lagi berada di bandar berkenaan.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN