Puji AS negara terkuat di dunia, Trump angkuh di pentas UNGA

Puji AS negara terkuat di dunia, Trump angkuh di pentas UNGA

DONALD TRUMP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEW YORK: Ketika dunia semakin bergolak akibat perang, kemiskinan dan krisis iklim, pemimpin global dari Perancis hingga Korea Selatan, Afrika Selatan hingga Suriname tampil menyatakan sokongan padu terhadap seruan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres supaya bersatu menangani cabaran global.

Namun, berbeza dengan nada perpaduan itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump hadir dengan mesej yang sangat kontras melalui naratif ‘America First’, sekali lagi menegaskan pendirian nasionalisnya di pentas antarabangsa.

Dalam ucapan pembukaan di Perhimpunan Agung Tahunan PBB (UNGA), Guterres menggesa para pemimpin dunia memilih damai daripada perang, undang-undang daripada kekacauan, dan kerjasama global berbanding kepentingan diri.

“Dunia menuju ke arah yang berbahaya. Hanya melalui perpaduan dan kerjasama, kita dapat mengelak daripada terjerumus ke dalam kekacauan global,” katanya.

Presiden Perancis Emmanuel Macron pula memberi amaran dunia semakin terpisah dan hilang keupayaan kolektif untuk menyelesaikan konflik utama zaman ini.

Namun, katanya, dunia yang kompleks bukan alasan untuk meninggalkan prinsip asas PBB seperti keamanan, keadilan dan hak asasi manusia.

Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, turut menekankan dalam masa sukar, dunia perlu kembali kepada semangat asal penubuhan PBB iaitu saling mempercayai dan bekerjasama demi masa depan generasi akan datang.

Presiden Suriname, Jennifer Geerlings-Simons menyifatkan multilateralisme sebagai salah satu pencapaian terbesar kemanusiaan yang perlu dipertahankan. Sementara itu, Presiden Afrika Selatan,

Cyril Ramaphosa, menyeru PBB agar terus memainkan peranan sebagai penghubung dalam menghadapi cabaran bersama.

TRUMP SINDIR PBB, PUJI AS

Namun ketika pemimpin dunia bersatu menyeru kerjasama, Trump tampil dengan ucapan keras, menyifatkan PBB sebagai institusi yang gagal mencapai potensinya.

“PBB hanya penuh dengan kata-kata kosong dan kata-kata kosong tidak akan menamatkan perang,” kata Trump yang turut menyalahkan organisasi itu kerana eskalator rosak dan te­leprompter yang tidak berfungsi semasa ketibaannya.

Dalam nada berbangga, beliau menyifatkan AS sebagai negara dengan semangat paling kuat di dunia.

Namun begitu, nadanya berubah ketika bertemu Guterres secara peribadi kemudian hari apabila beliau menyatakan sokongan penuh terhadap PBB.

“Saya mungkin tidak selalu bersetuju, tetapi saya menyokong PBB 100 peratus. Potensi untuk perdamaian melalui institusi ini sangat besar,” kata Trump.

Menurut Ketua Kemanusiaan PBB, Tom Fletcher, pertemuan tertutup antara Trump dan Guterres berlangsung dengan baik, meliputi isu konflik global, kecekapan operasi, kerjasama dengan sektor swasta dan usaha kemanusiaan.

Namun, beliau turut mengakui krisis dana terus membe­lenggu PBB.

Setakat ini, hanya 19 peratus daripada rayuan dana PBB sebanyak AS$29 bilion (RM122 billion) untuk membantu 114 juta orang di seluruh dunia telah diterima.

“Pemotongan bantuan ini menyebabkan kehancuran dan ia seperti hukuman mati bagi ramai,” kata Guterres.

PERANG UKRAINE, GAZA JADI TUMPUAN

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) mengadakan dua mesyuarat tergempar mengenai dua konflik utama iaitu perang Ukraine yang berlarutan sejak Russia menceroboh pada Februari 2022 dan perang di Gaza,yang bermula Oktober 2023.

Dalam satu perubahan mengejut, Trump mengumumkan di media sosial beliau kini percaya Ukraine mampu merampas semula semua wilayah yang diduduki Russia, bertentangan dengan pendirian terdahulunya yang mencadangkan rundingan damai dengan kompromi wilayah.

Perdebatan berhubung Gaza sekali lagi memperlihatkan keterasingan AS yang terus menyokong Israel secara lantang, berbeza dengan majoriti negara anggota lain yang menyeru gencatan senjata segera dan kema­sukan bantuan kemanusiaan.

Duta baharu AS ke PBB, Mike Waltz, menyifatkan mesyuarat itu sebagai ‘sandiwara mengecewakan’ dan mempertikaikan penganjurannya sempena Rosh Hashana, perayaan penting Yahudi yang menghalang penyertaan Israel.

Raja Jordan, Abdullah II, pula memberi amaran kerajaan Israel pimpinan Benjamin Netanyahu bukan rakan damai yang ikhlas, sambil membidas pelanggaran kedaulatan oleh Israel terhadap beberapa negara serantau.

“Sampai bila kita mahu menafikan hak Palestin untuk diiktiraf sebagai rakyat yang setaraf dengan kita semua? Kewujudan negara bukan sesuatu yang perlu mereka ‘peroleh’ kerana ia adalah hak yang tidak boleh dipertikaikan,” tegasnya.

Walaupun perhimpunan kali ini diselubungi ketegangan dan perbezaan pandangan, mesej utama daripada sebahagian besar pemimpin dunia adalah jelas iaitu tanpa perpaduan, dunia akan terus berpecah dan rakyat akan terus menderita.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×