MANILA: Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. berkata, beliau tidak menyalahkan rakyat kerana menyertai protes bagi membantah skandal rasuah melibatkan projek kawalan banjir, ketika kemarahan awam semakin memuncak.
Skandal infrastruktur itu mencetuskan siri protes di sekitar ibu kota Manila sejak beberapa minggu lalu, termasuk satu perhimpunan melibatkan kira-kira 3,000 pelajar di kampus Universiti Filipina.
Walaupun kebanyakan demonstrasi masih berskala kecil, satu protes tahunan sempena memperingati pengisytiharan darurat tentera tahun 1972 oleh mendiang ayahnya, Ferdinand Marcos Sr., dijangka menarik kehadiran besar pada Ahad ini.
Tentera negara Asia Tenggara itu diletakkan dalam keadaan amaran merah sebagai langkah berjaga-jaga.
Dalam sidang media hari ini, di mana Marcos Jr. menamakan bekas hakim Mahkamah Agung untuk mengetuai sebuah badan siasatan, beliau berkata, kemarahan rakyat adalah wajar.
“Untuk menunjukkan anda marah, kecewa, menuntut keadilan, apa yang salah dengannya? Saya tidak salahkan mereka. Sedikit pun tidak,” katanya kepada pemberita.
Beliau turut mengulangi jaminan, rakan dan sekutu politik tidak akan terkecuali apabila ditanya mengenai sepupunya, Speaker Dewan Perwakilan Martin Romualde, yang disebut oleh saksi dalam pendengaran skandal itu minggu lalu.
Romualdez, yang menafikan sebarang penglibatan, adalah antara ramai ahli Parlimen yang kini menjadi tumpuan akibat skandal itu.
Minggu lalu, pemilik sebuah syarikat pembinaan menuduh hampir 30 ahli Dewan Perwakilan serta pegawai Jabatan Kerja Raya dan Lebuhraya (DPWH) menerima bayaran tunai.
Marcos Jr. pada Isnin mengumumkan bekas hakim Mahkamah Agung, Andres Reyes akan mengetuai sebuah suruhanjaya dianggotai tiga individu yang ditugaskan menyiasat projek kawalan banjir sepanjang 10 tahun lalu.
Badan itu akan mempunyai kuasa mengadakan pendengaran dan menilai bukti, namun tidak diberi kuasa untuk menjatuhkan hukuman secara unilateral.
Kementerian Kewangan menganggarkan ekonomi Filipina kerugian sehingga 118.5 bilion peso (RM8.7 bilion) dari 2023 hingga 2025 akibat rasuah dalam projek kawalan banjir.
Pada Isnin, Vince Dizon, yang mengambil alih DPWH awal bulan ini, memecat tiga pegawai agensi di wilayah Bulacan, utara Manila, yang lama terjejas banjir, atas salah laku dan kecuaian teruk. – AFP










