WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) mendedahkan foto terbaharu dan video individu yang dikaitkan dengan pembunuhan penceramah konservatif, Charlie Kirk di Universiti Utah Valley ketika menghadiri satu program ceramah umum semalam.
Imej yang dikeluarkan menunjukkan seorang lelaki bertubuh kurus memakai seluar jeans, kemeja hitam berlengan panjang dengan grafik bendera Amerika Syarikat (AS), bercermin mata hitam dan topi.
Set gambar baharu yang dikeluarkan pada Khamis malam memberi gambaran paling jelas setakat ini mengenai idividu yang sedang diburu.
Beberapa jam kemudian, pihak berkuasa mengumumkan FBI menawarkan ganjaran sebanyak AS$100,000 (RM421,296) kepada sesiapa yang memberikan maklumat sehingga membawa kepada penangkapannya.
Menurut Ejen Khas FBI Salt Lake City, Robert Bohls penyiasat telah mengesan laluan lari penembak dan menemui sebuah raifal berkuasa tinggi jenis bolt-action serta mendapatkan kesan tapak kaki, tapak tangan dan lengan yang dikaitkan dengan jenayah itu.
Pengumuman tersebut dibuat selepas dua insiden berasingan di mana pihak berkuasa menahan individu, namun kedua-duanya kemudiannya dibebaskan.
Jurucakap universiti berkata, insiden tembakan berlaku sekitar pukul 12:20 tengah hari (waktu tempatan), kira-kira 20 minit selepas Kirk memulakan ucapannya.
Rakaman komunikasi radio kecemasan turut mengandungi deskripsi suspek.
“Dia memakai pakaian serba hitam, membawa senapang panjang hitam, topi keledar taktikal hitam, topeng hitam, berkemungkinan memakai jaket taktikal serta jeans,” kata seorang pegawai wanita melalui radio, menurut rakaman.
Pihak berkuasa berkata penembak tiba sekitar pukul 11:52 pagi (waktu tempatan) dan menaiki bumbung melalui tangga salah satu bangunan kampus.
Selepas melepaskan tembakan, suspek melompat turun di bahagian lain bangunan dan melarikan diri ke kawasan kejiranan berhampiran, di mana polis kini sedang mengumpulkan bukti rakaman video.
Kirk, 31, yang merupakan pengasas pertubuhan konservatif Turning Point USA dan bapa kepada dua anak, meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami.
Rakaman video kejadian menunjukkan Kirk terkena tembakan lalu rebah di pentas, disusuli jeritan dan kekecohan orang ramai yang berlari menyelamatkan diri.
Rakaman lain pula memaparkan kelibat seseorang bergerak di atas bumbung bangunan bertentangan lokasi beliau berucap di ruang hijau tengah kampus.










