BANGKOK: Perdana Menteri Sementara Thailand, Phumtham Wechayachai menegaskan rundingan dengan Parti Rakyat (PP) masih berjalan bagi mendapatkan sokongan dan
menafikan Parti Pheu Thai (PT) yang memerintah merancang untuk membubarkan Parlimen.
Phumtham, yang juga anggota kanan PT berkata, pembubaran Parlimen hanya akan dipertimbangkan sebagai langkah susulan dan kepastian mesti dicapai terlebih dahulu melalui rundingan yang sedang berlangsung.
“Apabila PP dan Parti Bhumjaithai (BJT) mengumumkan pakatan mereka, kami (PT) akan membincangkannya,” katanya dalam kenyataan di akaun rasmi X pada Selasa.
Beliau juga memaklumkan tidak membuat sebarang persediaan untuk pembubaran dan tidak mempertimbangkan langkah di luar peringkat semasa dan turut menolak dakwaan PP akan menyokong Ketua BJT, Anutin Charnvirakul sebagai Perdana Menteri ke-32 negara itu, sambil menegaskan laporan tersebut tidak benar.
Terdahulu, semasa mesyuarat Parlimen PT, jurucakap Parti, Danuporn Punnakanta mengesahkan parti itu akan menamakan Chaikasem Nitisiri sebagai Perdana Menteri tanpa undian dalaman.
Beliau menegaskan PT tidak akan sama sekali menyokong calon daripada parti lain.
“Tiada keperluan untuk resolusi mesyuarat bagi mengemukakan nama Chaikasem kerana beliau sudah pun menjadi calon parti. Parti mengesahkan ia sama sekali tidak akan menyokong sesiapa daripada parti lain,” katanya.
Mesyuarat PT di ibu pejabat parti pada Selasa turut dihadiri bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra; Ketua Parti, Paetongtarn Shinawatra; tokoh kanan, Suriya Juangroongruangkit dan Somsak Thepsuthin serta anggota Parlimen lain.
Selain Chaikasem dan Anutin, tiga lagi calon yang layak kekal daripada senarai yang dikemukakan sebelum pilihan raya 2023 ialah calon Parti United Thai Nation, Pirapan Salirathavibhaga; calon Parti Demokrat, Jurin Laksanawisit, dan bekas Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha, juga dari Parti United Thai Nation.
Sementara itu, media Thailand melaporkan hari kedua mesyuarat Parlimen PP pada Selasa berakhir tanpa keputusan mengenai cara anggotanya akan mengundi perdana menteri ke-32 negara itu.
Ahli Parlimen sebaliknya bersetuju menyerahkan perkara itu kepada jawatankuasa eksekutif parti, yang akan membuat keputusan muktamad pada Rabu.
Dewan Perwakilan dijadual bersidang pada 4 dan 5 September bagi membahaskan pencalonan Perdana Menteri baharu negara itu selepas pemecatan Paetongtarn minggu lalu.










