OREM: Amerika Syarikat (AS) terus dikejutkan dengan insiden tembakan dan kali ini melibatkan aktivis konservatif terkenal, Charlie Kirk yang juga sekutu rapat Presiden, Donald Trump.
Insiden tragis itu berlaku di kampus Universiti Utah Valley di Orem ketika Kirk, 31, berucap di hadapan kira-kira 3,000 hadirin.
Satu das tembakan dilepaskan dari bumbung berdekatan dan mengenai leher Kirk sekali gus menyebabkan beliau ‘terkulai’ di atas kerusi dan disahkan meninggal dunia.
Rakaman telefon pintar di lokasi menunjukkan darah mengalir deras dari lehernya sejurus selepas ditembak, sekali gus mencetuskan panik dalam kalangan penonton.
Trump mengecam kumpulan radikal kiri selepas pembunuhan Kirk yang juga tokoh berpengaruh dalam politik konservatif AS dan berikrar memburu bukan sahaja pelaku, tetapi jmana-mana pihak yang menyokong atau membiayai keganasan politik.
Beliau turut mengarahkan semua bangunan kerajaan mengibarkan bendera separuh tiang sehingga Ahad bagi menghormati mendiang Kirk.
“Ini adalah hari yang amat suram buat AS” kata Trump.
Pesuruhjaya Jabatan Keselamatan Awam Utah, Beau Mason mengesahkan suspek berpakaian serba gelap dan dipercayai melakukan serangan terancang itu bersendirian.
Gabenor Utah, Spencer Cox menyifatkan kejadian itu sebagai pembunuhan politik manakala Datuk Bandar Orem, David Young berkata, pelbagai agensi penguat kuasa bekerjasama dalam siasatan, termasuk pencarian dari rumah ke rumah.
FBI membuka talian digital untuk orang ramai menyalurkan maklumat selepas timbul kekeliruan suspek sudah ditahan sebelum kenyataan itu ditarik balik.










