GENEVA: Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk mendakwa masyarakat antarabangsa gagal melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap rakyat Palestin di Gaza, apabila tidak mengambil langkah tegas bagi menghalang berlakunya genosid.
Berucap pada pembukaan sesi ke-60 Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva, semalam, Türk menegaskan Israel secara sah wajib mematuhi arahan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), menghentikan kempen genosid, menghukum pihak yang menghasut pembunuhan beramai-ramai serta memastikan akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.
Beliau mengecam serangan berterusan Israel yang menyasarkan orang awam, menyebabkan kebuluran, menghalang bantuan menyelamatkan nyawa serta menyerang wartawan, yang disifatkannya sebagai sesuatu yang menggoncang hati nurani dunia.
“Saya terkejut dengan retorik berunsur genosid secara terbuka dan tindakan memalukan yang mendiskriminasi rakyat Palestin oleh pegawai kanan Israel,” katanya.
Menyifatkan Gaza sebagai tanah perkuburan, Türk memberi amaran pendudukan, penindasan dan pengilhakan yang berterusan hanya akan menambah keganasan, dendam serta keganasan baharu.
“Masyarakat antarabangsa tidak menjalankan tugas mereka. Kita gagal rakyat Gaza,” tegasnya.
“Di manakah langkah tegas untuk menghalang genosid? Mengapa negara-negara tidak berbuat lebih untuk menghentikan jenayah kejam ini? Negara-negara mesti segera menghentikan aliran senjata ke Israel yang berpotensi digunakan melanggar undang-undang antarabangsa,” katanya lagi.
Oleh itu, Türk menekankan keperluan untuk meningkatkan tekanan bagi mencapai gencatan senjata, membebaskan tahanan serta individu yang ditahan sewenang-wenangnya, dan menyalurkan bantuan kemanusiaan yang mencukupi ke Gaza. -AGENSI










