BAITULMUQADDIS: Pihak berkuasa Palestin mendakwa Israel menjalankan kerja penggalian rahsia di bawah kawasan Masjid al-Aqsa sehingga merosakkan artifak dan tinggalan sejarah Islam yang penting, termasuk peninggalan dari era pemerintahan Bani Umayyah.
Dalam satu kenyataan rasmi, pihak berkuasa Palestin memaklumkan beberapa rakaman video bocor menunjukkan aktiviti penggalian tanpa kebenaran dilakukan oleh pasukan Israel di tapak yang sering menjadi titik ketegangan antara kedua pihak.
“Pihak berkuasa Israel didakwa sengaja memusnahkan artifak Islam dari zaman Bani Umayyah yang merupakan bukti sejarah sahih hak milik umat Islam ke atas tapak suci ini,” kata kenyataan itu.
Menurut pihak Palestin, tindakan Israel itu bertujuan untuk menghapuskan identiti sejarah Masjid Al-Aqsa dan memutarbelitkan fakta demi menyokong naratif ‘Temple Mount’ yang didakwa oleh pihak Israel.
Kenyataan itu juga menegaskan bahawa kerja penggalian ini dilakukan secara rahsia tanpa sebarang pemantauan antarabangsa, yang dikhawatirkan boleh mengancam struktur asas Masjid Al-Aqsa serta merosakkan warisan sejarahnya yang berharga.
Lebih membimbangkan, kerja penggalian ini dipercayai sebagai usaha untuk mewujudkan fakta baharu di lapangan yang menyokong agenda penjajahan dan pengambilalihan kota suci Baitulmuqaddis oleh Israel.
Susulan dakwaan ini, pihak berkuasa Palestin menggesa masyarakat antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan kebudayaan UNESCO, untuk campur tangan segera.
Mereka menuntut agar pencabulan ini dihentikan serta pihak yang bertanggungjawab dikenakan tindakan atas jenayah yang dilakukan terhadap tapak suci berkenaan.
Walaupun lokasi tepat kerja penggalian tidak didedahkan, Israel telah lama menjalankan aktiviti terowong di bawah Masjid Al-Aqsa yang dianggap oleh rakyat Palestin sebagai sebahagian daripada rancangan besar untuk Yahudisasi Baitulmuqaddis Timur.
Mengikut undang-undang antarabangsa, Majlis Wakaf Baitulmuqaddis yang dikendalikan oleh Jordan adalah badan tunggal yang sah menguruskan hal ehwal Masjid Al-Aqsa.
Pada Mac 2013, Raja Jordan, Raja Abdullah II bersama Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, menandatangani perjanjian yang mengiktiraf hak Jordan dalam penjagaan dan mempertahankan Baitulmaqdis serta tapak-tapak suci di Palestin, termasuk Masjid Al-Aqsa.
Masjid Al-Aqsa merupakan tapak ketiga paling suci dalam Islam, namun pihak Yahudi merujuk kawasan ini sebagai Temple Mount dan mendakwa ia adalah lokasi dua kuil Yahudi purba.
Israel mula menduduki Baitulmuqaddis Timur, yang menjadi lokasi Masjid Al-Aqsa, selepas Perang Arab-Israel pada tahun 1967 dan seterusnya menggabungkan seluruh bandar itu pada tahun 1980 dalam satu tindakan yang tidak diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.










