Negara Teluk dalam bahaya, Qatar desak tindakan tegas terhadap Israel

Negara Teluk dalam bahaya, Qatar desak tindakan tegas terhadap Israel

SHEIKH MOHAMMED ABDULRAHMAN AL THANI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani menggesa tindak balas kolektif dari negara-negara serantau susulan serangan udara Israel terhadap ibu negara Qatar, Doha yang mengorbankan sekurang-kurangnya tujuh nyawa, termasuk dua pegawai keselamatan.

Beliau memberi amaran seluruh rantau Teluk kini berada dalam bahaya dan menyifatkan tindakan Israel sebagai cubaan menggagalkan proses damai di Gaza.

“Tindak balas sedang dibincangkan bersama rakan-rakan serantau.

“Kami berharap akan ada langkah bermakna yang dapat menghalang Israel daripada terus bertindak sesuka hati,” katanya dalam temu bual bersama CNN.

Serangan terhadap Doha berlaku ketika pemimpin Hamas bermesyuarat membincangkan cadangan gencatan senjata yang dibawa oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Walaupun kepimpinan Hamas terselamat, insiden itu telah mencetuskan kecaman antarabangsa.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron menelefon Emir Qatar untuk menyatakan solidariti dan mengutuk serangan tersebut sebagai tidak boleh diterima, manakala kumpulan Hezbollah dari Lubnan memberi amaran negara-negara Teluk tidak akan terkecuali sekiranya Israel berjaya menewaskan kumpulan bersenjata serantau.

Sumber diplomatik mendedahkan satu mesyuarat tergempar serantau dijangka diadakan di Doha dalam masa terdekat, dan negara-negara Teluk telah membentuk pasukan undang-undang bersama untuk mengkaji kemungkinan mendakwa Netanyahu atas jenayah antarabangsa.

Serangan terhadap Doha menandakan negara keenam diserang Israel dalam tempoh 72 jam terakhir, dan negara ketujuh sejak awal tahun.

Pada hari sama, Israel turut menyerang Yaman, mengorbankan 35 orang awam.

Sheikh Mohammed menyifatkan tindakan Netanyahu sebagai punca kekacauan di rantau ini dan menyatakan bahawa serangan terbaru itu hanya ‘membunuh sebarang harapan untuk pembebasan tebusan Israel’ yang masih hidup di Gaza.

“Apa yang dilakukan Netanyahu bukan sekadar serangan tetapi ia adalah sabotaj terhadap harapan keamanan,” tegasnya.

Israel kini menghadapi tekanan antarabangsa yang semakin meningkat, termasuk tuduhan genosid di Gaza, selepas lebih 64,000 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober 2023 akibat kempen ketenteraan agresif rejim Zionis.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN