HANOI: Vietnam giat memperhebat usaha menentang penguasaan China di Laut China Selatan (LCS) dengan membina pulau buatan dan pangkalan tenteranya sendiri di kawasan perairan yang dipertikaikan.
Menurut laporan Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI), yang dikendalikan Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Vietnam mengorek tanah dan pasir serta menambah keluasan sekurang-kurangnya lapan kawasan yang dikuasainya di bahagian tenggara Laut China Selatan sejak awal tahun ini.
Tindakan itu sebagai usaha terbaharu Hanoi menolak tuntutan China, yang selama bertahun-tahun mendakwa memiliki sebahagian besar perairan strategik tersebut.
Beijing mendakwa hampir keseluruhan 1.2 juta batu persegi Laut China Selatan, perairan penting bagi perdagangan dan keselamatan global, adalah miliknya.
Hanoi sebelum ini tidak secara jelas menentang usaha China untuk menguasai rantau berkenaan, justeru tindakan terbaharunya di Kepulauan Spratly, gugusan kira-kira 100 pulau, merupakan langkah paling berani pernah diambil terhadap Beijing.
Kerja-kerja mengorek, menambak tanah dilaporkan berlaku di Terumbu Alison, Terumbu Collins, Terumbu Timur, Terumbu Lansdowne dan Terumbu Petley, yang sebelum ini hanya menempatkan struktur konkrit kecil, menurut AMTI.
Sementara itu, infrastruktur ketenteraan dikesan di Terumbu Barque Canada, Terumbu Discovery Great, Terumbu Ladd, Pulau Namyit, Terumbu Pearson, Pulau Pasir dan Terumbu Tennent.
AMTI percaya Vietnam kini membina sebuah landasan kapal terbang di Terumbu Barque Canada dengan China menyuarakan kebimbangannya.










