ISLAMABAD: Sekurang-kurangnya 30 orang terkorban dan lebih 1.5 juta penduduk terjejas apabila banjir besar melanda sungai Chenab, Ravi dan Sutlej, menenggelamkan lebih 2,300 kampung di wilayah Punjab, yang merupakan kawasan pengeluar makanan utama negara.
Menurut Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA), banjir itu menyebabkan kawasan luas di wilayah paling padat penduduk itu tenggelam, menyukarkan operasi menyelamat dan bantuan, serta memaksa hampir setengah juta orang dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat.
Pihak berkuasa memberi amaran ancaman banjir dijangka merebak ke selatan, dengan Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan (NDMA) menjangkakan paras air yang sangat tinggi di Sungai Indus di kawasan Guddu dan Sukkur antara 4 hingga 5 September.
Menurut data NDMA, lebih 830 orang terkorban di seluruh Pakistan sejak 26 Jun akibat bencana berkaitan musim monsun.
Di ibu negeri wilayah, Lahore, pegawai PDMA mengesahkan dua kematian akibat panahan petir, menjadikan jumlah korban di Punjab seramai 30 orang.
“Sebanyak 1.516 juta orang terjejas, manakala 481,000 orang diselamatkan dan dipindahkan ke kawasan yang lebih selamat,” katanya.
Sebanyak 511 pusat bantuan, 351 pusat perubatan, dan 321 pusat veterinar ditubuhkan di daerah yang dilanda banjir dengan lebih 405,000 haiwan ternakan turut dipindahkan ke kawasan tinggi.










