COPENHAGEN: Lebih 62,700 orang meninggal dunia di Eropah akibat punca berkaitan haba pada tahun 2024, menurut satu kajian yang diterbitkan dalam jurnal Nature Medicine pada Isnin, dengan wanita dan warga emas mencatatkan jumlah kematian tertinggi.
Penyelidik dari Institut Kesihatan Global Barcelona (ISGlobal), yang memperoleh rekod kematian harian dari 32 negara Eropah, menganggarkan lebih 181,000 kematian berkaitan komplikasi haba berlaku sepanjang musim panas dari tahun 2022 hingga 2024.
Antara 1 Jun hingga 30 September 2024, kadar kematian meningkat sebanyak 23 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya, walaupun jumlah kematian masih di bawah rekod 67,900 kematian pada 2022, iaitu tahun pertama kajian tersebut dijalankan.
“Angka ini memberi isyarat kita perlu mula menyesuaikan populasi kita,” kata Tomás Janos, penulis utama kajian tersebut.
Menurut Perkhidmatan Perubahan Iklim Copernicus Kesatuan Eropah, musim panas 2024 merupakan yang paling panas dalam sejarah benua itu.
Dua per tiga daripada kematian yang dianggarkan berlaku di Eropah Selatan. Itali, yang mempunyai peratusan penduduk warga emas tertinggi di Eropah dan mengalami suhu yang melonjak tinggi dalam ketiga-tiga musim panas, mencatat jumlah kematian tertinggi setiap tahun.
Walaupun musim panas 2025 tidak termasuk dalam kajian, Persatuan Perubatan Kecemasan Itali melaporkan kemasukan ke jabatan kecemasan meningkat sehingga 20 peratus di beberapa wilayah ketika suhu mencecah kemuncak tahun ini terutamanya melibatkan golongan warga emas.










