TUNIS: Lebih 1,000 orang berhimpun berhampiran sebuah pelabuhan di Tunisia semalam bagi menyambut ketibaan sebuah kapal bantuan dari Barcelona yang membawa aktivis alam sekitar, Greta Thunberg bersama sekumpulan aktivis pro-Palestin yang berhasrat memecahkan sekatan Israel terhadap Gaza.
“Kita semua tahu mengapa kita berada di sini. Hanya di seberang laut sedang berlaku satu pembunuhan beramai-ramai, kebuluran besar yang dilakukan oleh mesin pembunuh Israel,” kata Thunberg dalam ucapannya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Eropah, Rima Hassan yang menyertai orang ramai di Pelabuhan Sidi Bou Said bagi menyambut rombongan Global Sumud Flotilla.
“Perjuangan Palestin hari ini bukan lagi di tangan kerajaan, tetapi berada di hati umat manusia di seluruh dunia,” kata Hassan.
Beliau turut memuji peranan besar yang dimainkan rakyat berbanding sikap pengecut negara-negara yang menghalang sebarang bentuk solidariti terhadap rakyat Palestin.
Menurut penganjur, lebih 130 aktivis dari pelbagai negara telah mendaftar untuk menaiki kapal dari Tunis bagi menyertai flotila tersebut.
Global Sumud Flotilla dalam kenyataannya menegaskan ia adalah sebuah pertubuhan bebas tanpa kaitan dengan mana-mana kerajaan atau parti politik.
Flotila yang berlepas dari Tunis itu sebelum ini tertangguh kerana masalah teknikal dan logistik, kata penganjur. -AGENSI










