BEIJING: Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un berikrar memberikan sokongan penuh kepada Presiden Russia, Vladimir Putin dengan menyatakan kesediaan untuk melakukan apa sahaja demi membantu Moscow, ketika Kremlin berterima kasih kepada Pyongyang kerana menghantar tentera bagi memerangi Ukraine.
Pertemuan bersejarah itu berlangsung di Beijing sempena ulang tahun penyerahan rasmi Jepun dalam Perang Dunia Kedua.
Beberapa jam sebelum pertemuan, Jong-un dan Putin bersama Presiden China, Xi Jinping berdiri sebaris menyaksikan perarakan ketenteraan gergasi, pertemuan tiga pemimpin kuasa tersebut yang pertama sejak era awal Perang Dingin.
Selepas acara itu, Jong-un dan Putin menaiki kereta yang sama menuju ke rumah tamu negara untuk mengadakan perbincangan dua hala secara tertutup.
“Jika ada apa sahaja yang perlu atau wajib saya lakukan demi anda dan rakyat Russia, saya menganggapnya sebagai kewajipan persaudaraan,” kata Jong-un kepada Putin.
Putin pula menyapa Jong-un sebagai Pengerusi Hal Ehwal Negara yang dihormati serta mengungkapkan penghargaan mendalam terhadap pengorbanan Korea Utara.
Kedua-dua negara kini terikat melalui perjanjian pertahanan bersama yang dimeterai pada tahun lepas selain berdepan sekatan antarabangsa, Russia kerana perang di Ukraine dan Korea Utara akibat program senjata nuklearnya.
“Sejak kebelakangan ini, hubungan kita menjadi lebih istimewa, penuh kepercayaan, mesra dan kini bersifat sekutu. Tentera khas Korea Utara yang dihantar telah bertempur dengan berani dan penuh kepahlawanan,” kata Putin sambil memuji peranan pasukan khas Pyongyang membantu Russia mengusir tentera Ukraine dari wilayah Kursk, barat Russia, awal tahun ini.
Lawatan ke Beijing itu merupakan kunjungan pertama Jong-un ke China sejak pandemik Covid-19 dan kali pertama beliau dapat bertemu Putin serta Xi secara bersama, di samping lebih 20 pemimpin dunia lain yang hadir ke acara tersebut.
Pakar Korea Utara dari Universiti Ewha Womans, Seoul, Park Won-gon menilai kunjungan itu sebagai kejayaan besar dari sudut propaganda buat Kim.
“Berjalan seiring dengan Xi Jinping dan Putin tidak ada cara yang lebih baik untuk menunjukkan kedudukannya kepada dunia dan kepada rakyatnya,” katanya. -AGENSI










