KATHMANDU: Bekas Ketua Hakim Nepal, Sushila Karki, dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri interim selepas peletakan jawatan K.P. Sharma Oli.
Perkara itu didedahkan seorang sumber yang mengetahui perbincangan tersebut, lapor Reuters.
Nepal menyaksikan pergolakan terburuk dalam beberapa tahun, dengan 51 orang maut dan lebih 1,300 cedera ketika polis cuba mengawal protes antirasuah yang tercetus ekoran larangan media sosial, yang kemudiannya dibatalkan.
Keganasan itu reda hanya selepas Oli meletak jawatan Perdana Menteri.
Seorang pakar perlembagaan yang dirujuk Presiden Ramchandra Paudel dan ketua tentera Ashok Raj Sigdel berkata, pelantikan Sushila, 73, sebagai Perdana Menteri sementara sedang dipersetujui, dengan rundingan dilakukan secara intensif serta identiti pihak tertentu dirahsiakan.
“Mereka (Gen Z) mahukannya. Ini akan berlaku hari,” kata sumber itu, merujuk kepada penunjuk perasaan ‘Generasi Z’, nama popularnya berasal daripada umur kebanyakan peserta protes.
Ketua hakim wanita pertama dan satu-satunya di Nepal itu dikenali kerana kejujuran, integriti dan pendiriannya menentang rasuah.
Pelantikannya dijangka disahkan secara rasmi selepas satu mesyuarat di kediaman Paudel, yang dijadual semula hari ini, menurut seorang sumber yang terlibat dalam rundingan itu.
Nepal bergelut dengan ketidakstabilan politik dan ekonomi sejak penghapusan sistem monarki pada 2008, manakala kekurangan pekerjaan mendorong berjuta-juta rakyat mencari kerja di negara lain dan menghantar wang pulang ke tanah air.
Premis perniagaan mula dibuka semula hari ini, menandakan suasana kembali normal di ibu negara Kathmandu, dengan kenderaan mula memenuhi jalan raya.
Beberapa jalan masih ditutup, walaupun jumlah tentera yang meronda di jalan raya lebih berkurang berbanding sebelumnya.
Pihak berkuasa juga mula menyerahkan mayat mangsa yang terkorban dalam protes itu kepada waris mereka.










