PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet menggesa Perdana Menteri baharu Thailand, Anutin Charnvirakul segera menyelesaikan isu pertikaian sempadan antara kedua-dua negara.
Dalam perutusan tahniah kepada Anutin, Manet menekankan Kemboja dan Thailand merupakan jiran terdekat dari segi geografi serta anggota ASEAN, justeru kedua-dua negara perlu hidup bersama dalam suasana yang aman.
“Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan anda untuk memulihkan hubungan antara Kemboja dan Thailand seperti sediakala, membina semula kepercayaan bersama, dan menjadikan sempadan yang dikongsi sebagai sempadan yang damai, penuh kerjasama, serta membawa pembangunan dan kemakmuran bersama,” katanya dalam kenyataan yang dimuat naik di Facebook pada Ahad.
Anutin, 58, mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Thailand ke-32 pada Ahad, selepas meraih sokongan majoriti dalam undian Parlimen pada Jumaat lalu.
Hubungan antara kedua-dua negara terjejas selepas tercetusnya pertikaian sempadan yang membawa kepada pertempuran ketenteraan pada 24 Julai.
Gencatan senjata dicapai lima hari kemudian dengan bantuan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, serta sokongan daripada Amerika Syarikat dan China.
Ketegangan tersebut memaksa kira-kira 300,000 penduduk di kedua-dua negara dipindahkan dalam tempoh beberapa minggu sebelum kedua-dua pihak bersetuju untuk mengadakan rundingan damai bagi menyelesaikan konflik yang berlarutan.
Ketika ini, pemimpin kanan tentera dari Kemboja dan Thailand sedang mengadakan perbincangan melalui mekanisme Jawatankuasa Sempadan Serantau, dalam usaha mencari penyelesaian kekal dan memastikan keamanan jangka panjang.










