TUNIS: Insiden yang didakwa serangan dron tidak mematahkan semangat kumpulan aktivis daripada meneruskan pelayaran ke Gaza.
Penganjur flotila itu sebelum ini memaklumkan dua kapal terkena objek dipercayai pesawat tanpa pemandu (UAV) ketika berlabuh di Sidi Bou Said, utara Tunis bagaimanapun, pihak berkuasa Tunisia menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan “tiada sebarang dron dikesan.”
“Kehendak kami lebih kuat dan tekad kami semakin kukuh untuk memecahkan kepungan Israel ke atas Gaza,” kata penganjur Tunisia, Ghassen Henchiri kepada orang ramai di Tunis.
Ahli jawatankuasa pemandu flotila, Nadir al-Nuri, memberitahu AFP rombongan itu tetap akan bertolak dari ibu negara Tunisia hari ini seperti dijadualkan.
Walaupun pihak berkuasa menolak dakwaan berlakunya serangan, rakaman kamera keselamatan yang disiarkan penganjur menunjukkan objek terbakar jatuh dari udara ke arah kapal tersebut.
Api tersebut bagaimanapun segera dipadamkan dan tiada kerosakan besar dilaporkan, manakala enam kru yang berada di atas kapal terselamat.
Tentera Israel sehingga kini belum memberikan sebarang respons.
Sementara itu, Wakil khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk wilayah Palestin, Francesca Albanese yang tinggal di Tunis berkata, jika benar serangan itu berpunca daripada dron, ia merupakan satu bentuk pencerobohan terhadap kedaulatan Tunisia.
Pelabuhan Sidi Bou Said terletak hanya dua kilometer dari istana Presiden Tunisia di Carthage, sekali gus menimbulkan kebimbangan dari segi keselamatan negara.
Penganjur flotila yang dikenali sebagai Global Sumud Flotilla yang turut disertai oleh aktivis alam sekitar terkenal, Greta Thunberg menegaskan mereka tetap akan meneruskan misi ke Gaza, biarpun berdepan halangan.
Misi flotila itu yang beberapa kali tertangguh akibat cuaca dan masalah teknikal dijadualkan belayar semula menuju ke Gaza, esok. -AGENSI