KABUL: Angka korban akibat dua gempa bumi kuat yang melanda timur Afghanistan meningkat melebihi 1,400 orang, sementara ribuan lagi cedera dan hilang tempat tinggal.
Dalam usaha menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap, pihak berkuasa Afghanistan semalam menghantar pasukan komando melalui udara ke kawasan terpencil yang tidak dapat dicapai helikopter bagi membantu membawa keluar mangsa cedera ke lokasi lebih selamat.
Namun, Pertubuhan Makanan Sedunia (WFP) memberi amaran bekalan makanan untuk mangsa hanya mampu bertahan empat minggu sekiranya dana kecemasan tidak diperoleh segera.
“Empat minggu tidak mencukupi walaupun untuk memenuhi keperluan asas mangsa, apatah lagi membawa mereka ke arah membina semula kehidupan,” kata Ketua WFP Afghanistan, John Aylieff kepada Reuters.
Data kewangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menunjukkan dana WFP untuk Afghanistan tahun ini hanya AS$300 juta (RM1 bilion), jauh berkurangan berbanding AS$1.7 bilion (RM7 bilion) pada 2022, tahun pertama selepas Taliban mengambil alih kuasa.
Negara berpopulasi 42 juta itu berdepan kekangan sumber akibat perang berpanjangan, kemiskinan, serta pengurangan bantuan asing dan keadaan bertambah buruk apabila dasar pentadbiran Taliban yang mengekang hak wanita dan pekerja kemanusiaan menjejaskan sokongan antarabangsa.
Gempa bumi pertama berukuran 6.0 magnitud berlaku tengah malam Ahad lalu di wilayah Kunar dan Nangarhar pada kedalaman 10 kilometer manakala gegaran kedua berukuran 5.5 magnitud pada Selasa malam menambah panik, sekali gus melambatkan operasi menyelamat selepas jalan raya ke kampung-kampung terputus akibat runtuhan batu.
Pentadbiran Taliban mengesahkan sekurang-kurangnya 1,457 orang terbunuh, 3,394 cedera, manakala lebih 6,700 rumah musnah manakala PBB menjangka angka korban terus meningkat kerana ramai masih terperangkap di bawah runtuhan.
Menurut Ketua Pengurusan Bencana Kunar, Ehsanullah Ehsan, pusat kawalan dibuka bagi menyelaras bantuan dan pemindahan mangsa namun, katanya, kekurangan sokongan udara menghalang operasi.
Sementara itu, pekerja kemanusiaan memberi amaran keadaan semakin kritikal, terutama bagi wanita dan kanak-kanak manakala rumah-rumah tradisional daripada batu dan kayu runtuh dengan mudah akibat gegaran, ditambah tanah yang sudah lemah kerana hujan lebat berhari-hari.
Pejabat PBB bagi Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) menyeru bantuan segera berupa tempat perlindungan, bekalan makanan, air bersih, ubat-ubatan serta kemudahan sanitasi.
Pertubuhan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) yang menyalurkan kit trauma di dua hospital turut merayu lebih banyak bantuan antarabangsa disalurkan segera.
Afghanistan sememangnya terdedah kepada bencana gempa bumi, terutama di kawasan Pergunungan Hindu Kush, lokasi pertemuan dua plat tektonik India dan Eurasia. -AGENSI









