DOHA: Israel tidak berniat menutup penglibatannya dalam serangan di Doha pada Selasa, apabila hanya beberapa minit selepas letupan kedengaran di ibu negara Qatar, pegawai rejim itu segera mengaku bertanggungjawab dalam media.
Tidak lama kemudian, pejabat Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu secara terbuka mengaku bertanggungjawab atas serangan terhadap beberapa pemimpin Hamas.
“Kami yang memulakannya, kami yang melaksanakannya, dan Israel mengambil tanggungjawab penuh,” menurut kenyataan itu.
Serangan tersebut menandakan satu lagi peningkatan tindakan ketenteraan Israel selepas siri operasi terdahulu, termasuk melancarkan perang ke atas Iran, merampas lebih banyak wilayah di
Syria, membunuh kepemimpinan Hezbollah di Lubnan serta menyebabkan lebih 64,500 penduduk Palestin terbunuh di Gaza sejak konflik wilayah itu bermula.
SASAR KHALIL AL-HAYYA
Bagaimanapun, serangan di Doha dianggap membuka sempadan baharu apabila Israel berani ‘menyentuh’ sekutu rapat Amerika Syarikat (AS).
Qatar, yang menempatkan pangkalan tentera terbesar AS di rantau itu, kini mengetuai rundingan bagi mencapai perjanjian gencatan senjata dan pembebasan tebusan di Gaza.
“Kita melihat Israel menembak di kawasan sesak dan kediaman serta ibu kota serta Asia Barat sesuka hatinya.

“Dan ia akan terus berbuat demikian sekiranya tiada tindakan serius diambil untuk menghentikannya,” kata Penganalisis Kanan Israel di Kumpulan Krisis Antarabangsa, Mairav Zonszein, kepada Al Jazeera.
Menurut pegawai Israel, serangan itu menyasarkan barisan kepemimpinan tertinggi Hamas, termasuk Khalil Al-Hayya, pegawai kanannya yang semakin menonjol selepas kematian Ismail Haniyeh dan Yahya Sinwar tahun lalu.
Khalil, dilihat sebagai tokoh paling berpengaruh Hamas di luar negara sejak pembunuhan Haniyeh di Iran pada Julai 2024, juga mengetuai rundingan penting bagi pihak kumpulan itu.
Beliau merupakan sebahagian daripada majlis kepimpinan lima anggota yang mengemudi Hamas sejak kematian Sinwar dalam serangan Israel di Gaza pada Oktober tahun lalu.
Khalil dikenali mempunyai hubungan rapat dengan Iran serta memainkan peranan penting dalam usaha menamatkan konflik, termasuk gencatan senjata pada 2014.
SERANGAN TIDAK DIJANGKA
Serangan tersebut mengejutkan ramai pemerhati kerana menurut penganalisis pertahanan Palestin, Hamze Attar, ia jauh berbeza daripada cara biasa Mossad beroperasi, yang biasanya melibatkan pembunuhan senyap seperti menggunakan bom kereta, racun, tembakan atau serangan penembak tepat.
“Saya tidak fikir pihak Qatar menjangka Israel akan mengebom Doha,” kata Zonszein.
Felo pelawat di Majlis Perhubungan Luar Eropah, Cinzia Bianco berkata, serangan Israel sebelum ini di pelbagai negara sudah pun menunjukkan Qatar tidak sepenuhnya terselamat.
Namun katanya, tiada siapa menjangka serangan secara langsung, manakala keberanian melampau serta tindakan tanpa kawalan Israel itu mengejutkan banyak pihak.
Setakat ini, Israel hanya berdepan sedikit tentangan daripada AS berhubung tindakannya, baik di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump atau penyandang terdahulu, Joe Biden.
Dalam kenyataan pertama Rumah Putih mengenai serangan tersebut, Trump menegaskan meskipun AS dimaklumkan, Israel bertindak secara unilateral.
Penganalisis Politik Kanan Al Jazeera, Marwan Bishara menegaskan tidak percaya Israel akan melancarkan serangan sebegitu tanpa restu Washington.
“Jika benar AS tidak memberikan ‘lampu hijau’, kita sepatutnya mendengar kecaman daripada mereka. Pentadbiran Trump perlu mengecam perbuatan Israel, ketika rundingan gencatan senjata masih berlangsung,” katanya.
TAMAT RUNDINGAN GENCATAN SENJATA?
Rundingan gencatan senjata yang sedang berlangsung kini turut melibatkan cadangan didorong Trump.
Bagaimanapun, usaha itu disertai dengan ancaman beliau terhadap Hamas dan Gaza sekiranya tiada persetujuan dicapai.
Langkah tersebut memberi gambaran seolah-olah Hamas menjadi penghalang utama rundingan, sedangkan rekod menunjukkan kumpulan pejuang itu pernah menerima cadangan terdahulu, sebelum Israel menolak perjanjian yang dipersetujui atau mengubah syarat rundingan.
Pentadbiran Trump sebelum ini mencadangkan perjanjian yang merangkumi pembebasan sebahagian tebusan Israel dan jeda sementara pertempuran, manakala perbincangan ke arah menamatkan perang kekal diteruskan.
Namun, Israel menolak cadangan tersebut selepas pada awalnya menyatakan sokongan.
Perjanjian yang dicadangkan kini menuntut Hamas membebaskan semua tebusan, tetapi sebagai balasan hanya menawarkan jeda sementara dalam pertempuran.
“Kesimpulannya ialah Israel tidak berminat dengan sebarang gencatan senjata atau rundingan ke arah itu,” kata Zonszein.










