KUNAR, Afghanistan: ‘Suasana gempa ketika itu seperti gunung runtuh menimpa kami’.
Itu adalah gambaran yang diberikan penduduk apabila gempa bumi berukuran 6.0 skala Richter melanda wilayah Kunar pada lewat malam Ahad yang menyebabkan kemusnahan infrastruktur besar-besaran selain mengorbankan lebih 900 nyawa.
Seorang penduduk, Hamed Jan berkata, dia terbangun dari tidur apabila terasa gegeran kuat menggoncang rumahnya.
“Saya terus berlari ke tempat anak-anak dan ibu bapa saya tidur. Saya sempat selamatkan dua anak dan bawa mereka keluar.
“Tapi ketika saya masuk semula untuk selamatkan adik-adik saya, tiba-tiba dinding dan bumbung runtuh. Saya tertimbus di bawah runtuhan,” katanya.
Hameed terperangkap selama lima jam sebelum diselamatkan oleh jiran-jiran.
Namun, selepas keluar dari runtuhan rumahnya, Hameed dimaklumkan isteri, dua anak, dan dua saudara lelakinya terkorban.
Gegaran kuat tersebut memusnahkan ratusan rumah di seluruh wilayah, kebanyakannya dibina daripada tanah liat dan kayu, menjadikannya mudah runtuh dan hanyut akibat banjir kilat yang turut berlaku.
Tanah perkuburan di Lembah Mazar kini penuh dengan jenazah yang tiba tanpa henti. Imam tempatan, Abdul Rahim, berkata penduduk tidak lagi menunggu, mereka terus menggali kubur awal kerana jenazah baru tiba setiap setengah jam.
“Suasana di kampung sunyi, tetapi penuh tangisan. Di mana-mana orang menangis, berpelukan, kehilangan seluruh keluarga dalam satu malam,” katanya.
Sanaullah, seorang penduduk yang berada di luar kampung ketika gempa berlaku, kembali keesokan paginya hanya untuk melihat rumahnya musnah dan saudaranya maut bersama lima anak kecil.
“Ini bukan nasib saya seorang. Setiap rumah yang saya kunjungi, paling kurang tiga hingga lima ahli keluarga terkorban,” katanya.
Walaupun kerajaan Taliban menghantar sejumlah helikopter dan mengisytiharkan darurat di kawasan terjejas, ramai penduduk kecewa terhadap operasi menyelamat yang dianggap lambat, tidak tersusun dan kekurangan sumber.










