Israel kerah lebih banyak kereta kebal ke Gaza City - Utusan Malaysia

Israel kerah lebih banyak kereta kebal ke Gaza City

KENDERAAN tempur infantri Israel digerakkan ke sempadan Semenanjung Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAHERAH: Ketegangan di Gaza terus memuncak apabila tentera Israel menghantar kereta kebal lebih jauh ke dalam Gaza City dan meletupkan sebuah kenderaan sarat bahan letupan di kawasan penempatan sesak, menyebabkan sekurang-kurangnya 19 orang terkorban.

Insiden pada Isnin itu berlaku serentak dengan pengumuman bersejarah daripada Persatuan Antarabangsa Sarjana Genosid (IAGS) yang meluluskan satu resolusi mengesahkan tindakan ketenteraan Israel di Gaza memenuhi kriteria undang-undang untuk diklasifikasikan sebagai genosid.

Setakat ini, tiada maklum balas rasmi daripada pihak Israel terhadap kenyataan IAGS mahupun laporan operasi ketenteraan terbaharu itu.

Sebelum ini, Israel secara konsisten menafikan tuduhan genosid dan menyatakan tindakan mereka adalah sah dari segi pertahanan diri terhadap Hamas.

Penduduk tempatan melaporkan kereta kebal Israel bergerak ke kawasan padat di Sheikh Radwan dan meletupkan sebuah kenderaan dari jauh, menyebabkan beberapa rumah musnah dan memaksa lebih ramai keluarga melarikan diri.

“Sepanjang malam penuh dengan letupan, dron tidak berhenti berlegar. Ramai meninggalkan rumah kerana takut, manakala sebahagian lagi langsung tidak tahu ke mana hendak dituju,” kata Mohammad Abu Abdallah, 55, penduduk Sheikh Radwan kepada Reuters.

Dalam risalah yang dijatuhkan dari udara, tentera Israel menggesa penduduk Gaza berpindah ke arah selatan dengan segera, memberi amaran bahawa operasi akan diperluaskan ke bahagian barat bandar itu.

Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, mengadakan mesyuarat tergempar Kabinet Keselamatan pada Ahad malam bagi membincangkan rancangan baharu untuk menawan Gaza City, yang digambarkannya sebagai “kubu kuat Hamas”.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza, serangan udara yang menyasarkan rumah-rumah di sekitar bandar itu telah mengorbankan sekurang-kurangnya 14 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Pemerhati menjangkakan operasi darat berskala besar hanya akan bermula dalam beberapa minggu akan datang, dengan Israel menyatakan mereka mahu memindahkan penduduk awam terlebih dahulu sebelum melancarkan serangan penuh.

Tentera Israel turut memberi amaran sebarang serangan besar ke atas Gaza City berisiko tinggi terhadap keselamatan tebusan yang masih ditahan Hamas.

Ketika ini, hanya 20 daripada 48 tebusan yang masih dipercayai hidup, manakala tekanan awam terhadap kerajaan Israel untuk menamatkan perang dan membebaskan tebusan semakin memuncak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×