Israel halang kapal flotila hampiri Gaza - Utusan Malaysia

Israel halang kapal flotila hampiri Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAITULMUQADDIS: Israel menegaskan tidak akan membenarkan flotila bantuan kemanusiaan ke Gaza memecahkan sekatan laut, sambil menyifatkan wilayah itu sebagai “zon pertempuran aktif” dan mendakwa misi tersebut dianjurkan oleh Hamas bagi tujuan politik.

Dalam satu kenyataan rasmi pada Isnin, Kementerian Luar Israel menyatakan tiada kapal akan dibenarkan memasuki perairan Gaza, namun menawarkan laluan alternatif melalui Pelabuhan Ashkelon, di mana bantuan boleh dipunggah dan dihantar ke Gaza melalui saluran rasmi yang diselaraskan.

“Jika niat sebenar peserta flotila adalah bantuan kemanusiaan, mereka harus berlabuh di Ashkelon. Bantuan itu akan dihantar ke Gaza secara teratur,” kata kenyataan tersebut.

Flotila yang dinamakan Global Sumud Flotilla disertai aktivis dari 44 negara, termasuk 15 rakyat Malaysia, dengan misi utama menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza serta menyalurkan bantuan secara langsung kepada penduduk Palestin.

Antara tokoh terkenal yang menyertai misi itu ialah Greta Thunberg, aktivis iklim dari Sweden, serta pejuang hak asasi pro-Palestin lain.

Flotila berlepas dari Tunisia awal bulan ini selepas beberapa kali tertangguh, termasuk insiden didakwa melibatkan serangan dron ke atas dua kapal mereka sebelum pelayaran bermula.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Datuk Sani Araby dari MAPIM Malaysia, bersama beberapa NGO lain seperti Cinta Gaza Malaysia (CGM) dan Cinta Salam Malaysia. Turut serta ialah bekas wartawan dan aktivis media sosial, Zainal Rashid Ahmad (ZRA Strim).

Penyertaan Malaysia dianggap sebagai simbol komitmen berterusan negara dalam memperjuangkan hak kemanusiaan rakyat Palestin dan mendesak pembukaan laluan bantuan ke Gaza.

Terdahulu, Israel menggagalkan dua cubaan flotila untuk memasuki Gaza pada Jun dan Julai lalu, menjadikan misi bantuan antarabangsa ini terus berdepan cabaran besar di tengah ketegangan yang berlarutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN