Israel dedah strategi serangan banyak kesilapan, mungkin gagal tawan Gaza - Utusan Malaysia

Israel dedah strategi serangan banyak kesilapan, mungkin gagal tawan Gaza

PENDUDUK Palestin mencari perlindungan selepas Israel melancarkan serangan terhadap sebuah bangunan di Jabalia, utara Gaza. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TEL AVIV: Satu dokumen sulit tentera Israel (IDF) yang diedarkan dalam kalangan anggota tentera mendedahkan operasi besar-besaran Gideon’s Chariots yang dilancarkan terhadap Hamas pada Mei lalu dan berakhir bulan lepas gagal mencapai objektif utama, lapor media Israel pada Ahad.

Menurut siaran Channel 12, dokumen itu secara jelas menyatakan operasi berkenaan tidak berjaya menumbangkan Hamas mahupun membebaskan tebusan. Dokumen yang disediakan oleh Pusat Maklumat Operasi pasukan darat IDF itu telah diedarkan minggu lalu dan sudah dilihat beberapa briged.

Pegawai yang meneliti laporan tersebut dilaporkan bimbang ia memberi isyarat buruk terhadap perancangan IDF untuk menguasai bandar Gaza pada Oktober, selain meragui sama ada tentera benar-benar mengambil iktibar daripada kegagalan lalu.

Walaupun Ketua Turus IDF Leftenan Jeneral Eyal Zamir dan pegawai kanan lain sebelum ini memuji operasi Gideon’s Chariots, penilaian dalaman itu dengan tegas menyatakan bahawa Israel telah melakukan setiap kesilapan yang mungkin sepanjang kempen tersebut.

Dokumen itu menuduh tentera bertindak bertentangan dengan doktrin ketenteraan sendiri dengan membekalkan sumber kepada musuh melalui bantuan kemanusiaan, gagal mengenakan tekanan masa, salah urus sumber dan akhirnya meletihkan angkatan sendiri sambil menghakis sokongan antarabangsa.

Sementara itu, Hamas didakwa kekal memiliki segala keperluan untuk bertahan termasuk sumber, kawasan perlindungan dan kaedah pertempuran yang sesuai.

Laporan itu turut menyebut Israel terlalu bergantung kepada strategi pengekangan berbanding kemenangan mutlak dengan strategi melanjutkan pertempuran sehingga mencapai gencatan senjata dan perjanjian pembebasan tebusan, sesuatu yang berjaya dimanfaatkan Hamas beberapa bulan kebelakangan ini.

Selain itu, ia mengkritik ketidakcekapan dalam perancangan dan pengagihan bantuan yang didakwa membolehkan Hamas melancarkan kempen global menuduh Israel sengaja membuat rakyat Gaza kebuluran.

Antara kelemahan lain yang disebut termasuk pergerakan berulang di kawasan sama pada kadar perlahan, keutamaan mengelak korban berbanding kejayaan misi, keletihan anggota, tekanan terhadap sumber tenaga manusia, kerosakan peralatan serta persediaan lemah menghadapi perang gerila.

Namun, laporan itu juga mengakui ada pihak dalam tentera yang melihat operasi tersebut berjaya menurunkan tuntutan Hamas dalam rundingan tebusan dengan tekanan tambahan dikatakan meningkatkan bilangan tawanan yang sanggup dilepaskan kumpulan itu.

Namun, IDF menafikan dakwaan yang terkandung dalam dokumen sulit itu, menegaskan bahawa tentera berjaya mencapai sasaran operasi dan masih berusaha memenuhi objektif keseluruhan perang. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN