NURGAL: Angka korban gempa bumi kuat yang melanda timur Afghanistan pada hujung minggu lalu meningkat mendadak kepada lebih 2,200 orang, menjadikannya yang terburuk dalam tempoh beberapa dekad.
Menurut kerajaan Taliban, majoriti mangsa adalah di wilayah Kunar dengan 2,205 orang terbunuh manakala 3,640 lagi cedera selepas gempa berukuran 6.0 magnitud melanda kawasan pergunungan berhampiran sempadan Pakistan, Ahad lalu.
Selain itu, 12 kematian turut dilaporkan di wilayah berdekatan iaitu Nangarhar dan Laghman dengan ratusan cedera.
Angka korban dijangka terus meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih diteruskan.
“Ratusan mayat ditemui di bawah runtuhan rumah,” kata jurucakap kerajaan, Hamdullah Fitrat, menerusi hantaran di platform X, sambil menegaskan usaha menyelamat sedang giat dijalankan.
Bagaimanapun, kerja menyelamat berdepan kesukaran akibat akses terhad ke kawasan paling terjejas di Kunar di mana jalan raya sempit di lereng bukit rosak akibat runtuhan batu susulan gegaran susulan.
Walaupun beberapa negara sudah mula menghantar bantuan, ratusan penduduk di daerah Nurgal masih berlindung berhampiran kawasan terbuka, berkongsi sehelai terpal yang diambil dari runtuhan rumah sambil kelaparan menunggu bekalan makanan.
“Semalam ada sedikit makanan dibawa masuk, semua orang berebut kerana terlalu lapar. Sudah lama kami tidak makan,” kata seorang mangsa, Zahir Khan Safi, 48.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran perkhidmatan kesihatan tempatan kini berada dalam keadaan tertekan akibat kekurangan bekalan perubatan, ubat-ubatan dan tenaga kerja.
“Kami perlukan dana segera sebanyak AS$4 juta (RM16 juta) untuk melaksanakan misi menyelamat nyawa serta menggerakkan pasukan kesihatan bergerak,” kata Ketua Pasukan Kecemasan WHO Afghanistan, Jamshed Tanoli.
Tambahnya, hospital kini bergelut merawat mangsa, keluarga berduka dan ribuan yang terselamat kehilangan segala-galanya.
Kekurangan dana antarabangsa selepas AS memotong bantuan pada Januari lalu turut memburukkan keadaan, apabila stok kecemasan semakin berkurangan.
Pesuruhjaya Tinggi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR), Filippo Grandi, berkata bencana itu menjejaskan lebih 500,000 penduduk di timur Afghanistan yang sudah pun berdepan kemiskinan, kemarau serta gelombang penghantaran pulang jutaan pelarian dari Pakistan dan Iran sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 2021. -AGENSI









