Hamas tidak gentar walau berdepan ancaman bunuh - Utusan Malaysia

Hamas tidak gentar walau berdepan ancaman bunuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DOHA: Kumpulan Hamas menegaskan gerakan itu tidak akan gentar dengan sebarang ugutan atau cubaan pembunuhan, sebaliknya akan meneruskan perjuangan menentang penjajahan Israel sehingga matlamat pembebasan tercapai.

Kenyataan itu dibuat oleh pegawai kanan Hamas, Abdul Rahman Shadid, pada Selasa di mana beliau menegaskan kepimpinan dan para pejuang Hamas tetap teguh dengan tekad untuk melawan rejim tersebut.

“Gerakan ini—sama ada kepimpinan atau para pejuang—akan terus berada di landasan menentang penjajahan jenayah Israel sehingga Allah mengurniakan pembebasan dan hak kembali kepada rakyat kami. Kami tidak akan gentar dengan cubaan pembunuhan atau ugutan dalam apa jua bentuk,” katanya dipetik Quds News Network.

Kenyataan itu menyusul selepas Israel melancarkan serangan udara ke atas delegasi rundingan Hamas di Doha, Qatar, yang mencetuskan kecaman keras daripada negara-negara Arab.

Letupan kuat kedengaran di ibu negara Qatar itu, dengan asap tebal kelihatan menjulang di udara malam Selasa.

Menurut sumber Hamas kepada Al Jazeera, serangan tersebut menyasarkan delegasi pimpinan Khalil al-Hayya ketika mereka mengadakan perbincangan mengenai cadangan gencatan senjata yang dikemukakan oleh Amerika Syarikat (AS).

Bagaimanapun, delegasi berkenaan dilaporkan terselamat daripada cubaan bunuh itu.

Tentera Israel kemudiannya mengakui melakukan serangan berkenaan dengan mendakwa ia adalah serangan tepat ke atas kepimpinan Hamas hasil kerjasama dengan agensi keselamatan dalamannya, Shin Bet.

Tindakan tersebut mendapat kecaman keras kerajaan Qatar yang menyifatkannya sebagai pelanggaran terhadap kedaulatan negara itu.

Mesir turut mengecam serangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan kedaulatan negara.

Dalam kenyataan rasmi, Pejabat Presiden Mesir memberi amaran serangan Israel itu menjejaskan usaha pengantaraan, menggugat kestabilan rantau serta mencetuskan keadaan berbahaya disamping menyatakan solidariti penuh bersama Qatar dan mendesak masyarakat antarabangsa bertindak segera menghentikan pencerobohan rejim serta memastikan ia dipertanggungjawabkan atas jenayahnya. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN