GAZA: Di tengah gelora deras Laut Mediterranean, lebih 50 bot kecil sarat dengan sukarelawan dari lebih 44 negara terus belayar penuh harapan, berjuang melawan keletihan dan kebimbangan demi satu misi besar membawa mesej solidariti kepada rakyat Gaza yang kian hilang dari peta dunia.
Wartawan Colombia, Mauricio Morales yang membuat liputan perjalanan itu untuk Al Jazeera sempat mencatatkan rutin harian dan pelbagai cabaran yang dihadapi kira-kira 24 sukarelawan di atas kapal.
Menurut kumpulan itu, para peserta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kerajaan atau parti politik.
Setiap kali terjaga, para sukarelawan pantas mencapai telefon pintar mereka dan melihat berita semasa dan memuat naik perkembangan terkini yang berlaku di media sosial masing-masing.
Menurut Morales, kebanyakan bot dilengkapi sambungan akses WiFi yang menjadi talian hayat penting bagi sukarelawan terutamanya wartawan untuk menyiapkan laporan atau memberi wawancara kepada media yang mengikuti perjalanan flotila.
“Sebahagian yang tidur di lantai segera beralih ke sofa atau tilam yang ditinggalkan untuk menyambung rehat, sementara yang lain kembali daripada giliran mengawal malam, memantau kehadiran dron Israel atau kapal besar yang perlu dielakkan bagi menghindari kemalangan.
“Mereka yang berkawal akan berjaga dari sekitar pukul 8 malam sehingga selepas subuh. Laut bergelora dan keadaan tidur yang tidak selesa semakin menguji ketahanan sukarelawan kerana kebanyakan mereka tiada pengalaman di laut.
“Rehat sangat berharga. Bot ini mengamalkan sIstem di mana setiap sukarelawan berpasangan untuk saling memeriksa dan memastikan pasangan mereka cukup tidur, makan serta mampu mengatasi tekanan fizikal serta emosi sepanjang misi,” katanya.
Rasai kesakitan di Gaza
Dengan katil dan kusyen yang terhad, keutamaan diberikan kepada warga emas atau yang berpenyakit.
Ramai yang terus bekerja dengan media namun perlu menyesuaikan diri dengan zon waktu negara asal mereka.
Tugas dan kerja harian juga diagihkan secara bergilir termasuk membersihkan tandas, mencuci pinggan, memasak, membersihkan dek dan kabin.
Setiap orang melaksanakan tugasan yang diberi tanpa bantahan.

Jelas Morales, sarapan mereka biasanya hanya secawan kopi atau teh dengan makanan panas hanya terhad sekali sehari di waktu petang menjelang malam.
Namun, dugaan kecil itu mampu ditahan mengenangkan kebuluran buatan manusia di Gaza, di mana ratusan mati setiap hari kerana kelaparan, malah ada yang terbunuh ketika beratur demi makanan untuk keluarga mereka.
Seorang warga Palestin berusia 73 tahun yang dihalau semasa Nakba, mengetuai sesi pembelajaran sejarah Palestin di dek kapal.
Walaupun kisah yang diceritakannya sarat dengan tragedi, ketabahan dan pengalaman beliau dalam usaha memecah kepungan Gaza menjadikan sesi itu bukan sahaja penuh maklumat, malah memberi semangat.
Setiap perkembangan terbaharu juga disebarkan kepada semua sukarelawan termasuk ancaman Menteri Keselamatan Nasional Israel, Itamar Ben-Gvir yang menyifatkan peserta flotila sebagai pengganas dan mahu memenjarakan mereka di penjara keselamatan sama seperti tahanan Palestin yang ditahan tanpa bicara serta diseksa.
Mengetahui pula nasib flotilla di Tunisia yang terbakar semalam menambah rasa cemas sukarelawan namun sokongan yang diberikan rakan-rakan, keluarga dan warganet di media sosial menguatkan keazaman mereka.
Ancaman itu hanya menambah kesungguhan sukarelawan untuk meningkatkan kesedaran tentang misi ini dalam kalangan kerajaan dan masyarakat sivil.
Jelas Morales, sesi latihan turut diadakan untuk mengajar tindakan kecemasan seperti kebakaran, orang jatuh ke laut atau jika kapal perlu ditinggalkan namun, latihan yang lebih mencabar mental adalah bagaimana jika kapal diserang rejim Zionis.
“Setiap peserta flotila diajar cara mengangkat tangan sekiranya tentera Israel menaiki kapal, mengetahui posisi yang cukup selesa jika ditahan lama tanpa kelihatan mengancam bagi mengelakkan tentera menggunakan kekerasan sebagai alasan,” katanya.
Misi sukar penuh cabaran
Misi flotila ini dianjurkan oleh empat gabungan utama yang pernah terlibat dalam usaha darat dan laut ke Gaza sebelum ini antaranya Gerakan Global ke Gaza (GMTG) dan Gabungan Freedom Flotilla (FFC) dengan lebih 15 tahun mengendalikan misi laut termasuk flotila Madleen dan Handala.
Flotila Sumud Maghreb pula merupakan inisiatif dari Afrika Utara yang menjalankan misi solidariti dan penghantaran bantuan sementara Konvoi Sumud Nusantara dipimpin rakyat dari Malaysia dan lapan negara lain yang bertujuan memecahkan sekatan Gaza serta mengukuhkan solidariti Selatan Global.
Flotila ini menghimpunkan penganjur, aktivis kemanusiaan, doktor, seniman, pemimpin agama, peguam dan pelaut yang bersatu menuntut penamatan kepungan dan kekejaman di Gaza.
Jawatankuasa pemandu termasuk tokoh antarabangsa seperti Greta Thunberg dari Sweden; sejarawan, Kleoniki Alexopoulou, aktivis hak asasi manusia, Yasemin Acar dan aktivis alam sekitar, Thiago Avila.
Flotila ini dijangka menempuh perjalanan kira-kira 3,000 kilometer atau kira-kira 1,620 batu nautika yang mengambil masa tujuh hingga lapan hari.
Cabaran pertama dirasakan ketika memulakan pelayaran apabila beberapa kapal terpaksa berlepas semula dari Barcelona selepas cuaca buruk memaksanya berpatah balik.
Semalam, sebuah kapal utama disyaki diserang dron di perairan Tunisia, menyebabkan kebakaran kecil yang segera dipadamkan tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
GSF turut berkongsi rakaman kamera keselamatan dari kapal tersebut, di mana bunyi berdengung kedengaran sebelum satu pancaran cahaya kelihatan.
Namun, punca kebakaran masih menjadi pertikaian, dengan jurucakap pengawal negara Tunisia, Houcem Eddine Jebabli mendakwa tiada dron dikesan.
“Menurut penemuan awal, kebakaran berpunca daripada jaket keselamatan di atas kapal,” katanya kepada AFP sambil menambah siasatan masih dijalankan.










