GENEVA: Negara-negara Barat giat membuat undian di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara merdeka.
Namun, persoalannya adalah sejauh mana tindakan ini benar-benar membawa perubahan kepada Palestin yang sudah lama menderita di bawah penjajahan dan kekejaman Israel.
Langkah ini turut menimbulkan tanda tanya besar adakah pengiktirafan tersebut lahir daripada keikhlasan untuk melihat Palestin bebas selepas puluhan tahun menutup mata atau sekadar tekanan politik bagi ‘memujuk’ Israel menghentikan genosid dalam peperangan di Gaza yang kini berlanjutan melebihi batas kemanusiaan.
Dunia tahu sejak 1948 lagi rakyat Palestin ditindas, dibunuh dan dihalau dari tanah air sendiri oleh rejim Zionis.
Dua tahun perang di Gaza yang meragut lebih 65,000 nyawa, membuat hampir separuh kanak-kanaknya kudung dan rakyat yang masih hidup kebuluran tidak cukup sebagai alasan untuk dunia terutamanya sekutu Barat Israel bertindak lebih awal.
Pakar-pakar politik dan aktivis kemanusiaan menegaskan, jika benar Palestin berhak merdeka, pengiktirafan itu sepatutnya diberikan sejak dahulu lagi bukan hanya setelah melihat bumi Palestin menjadi debu.
LANGKAH ROUGE STATE
Pakar Kajian Asia Universiti Pretoria, Somdeep Sen berkata, sudah tiba masanya masyarakat antarabangsa turut mengisytiharkan Israel sebagai ‘rouge state’ atau sebuah negara penyangak melihatkan genosid yang dilakukannya di Gaza, pendudukan ganas di Tebing Barat, pelbagai serangan terhadap jirannya dan sikap tidak peduli rejim Zionis terhadap undang-undang antarabangsa.
Israel turut mendakwa selatan adalah zon kemanusiaan, tetapi tiada satu pun tempat di Gaza yang benar-benar selamat untuk rakyat Palestin.
“Justeru, dalam keadaan sebegini, terasa sia-sia untuk meraikan undian PBB di mana 142 negara menyokong langkah nyata, terikat dengan masa dan tidak boleh diundur ke arah penyelesaian dua negara dalam konflik Israel-Palestin.

“Namun Gaza terus hancur dan komuniti Palestin di Tebing Barat yang diduduki terus dipadamkan secara sistematik. Jadi, bagaimana mungkin wajar untuk bercakap tentang sebuah negara Palestin? Siapa, atau apa, yang sebenarnya akan dilayani oleh negara sebegitu?” tegasnya.
Sebelum undian ini, majoriti besar negara di dunia sudah pun mengiktiraf Negara Palestin dan yang belum berbuat demikian hanyalah negara-negara maju di Global Utara.
Melalui undian di PBB, Perancis, Portugal, United Kingdom (UK), Malta, Belgium, Kanada, dan Australia kini memberi isyarat sokongan kepada kenegaraan Palestin, seiring dengan majoriti global, tetapi Sen menegaskan, harus jelas negara-negara ini tidak mempunyai hak moral untuk mendabik dada.
“Kita harus ingat mereka menunggu sehingga dua tahun genosid Israel sebelum mengundi memihak kepada Palestin. Mereka juga tidak peduli terhadap hak Palestin untuk menentukan nasib sendiri sepanjang tahun-tahun sekatan ketenteraan yang dikenakan Israel dan Mesir terhadap Gaza sebelum 7 Oktober 2023.
“Mereka tidak berbuat apa-apa untuk menghentikan perluasan penempatan haram di Tebing Barat yang diduduki atau peningkatan mendadak keganasan pelampau Yahudi. Malah, sejak 1948 mereka tidak pernah benar-benar menyokong hak Palestin untuk menentukan masa depan.
“Jadi, mengapa kali ini harus dianggap berbeza? Hakikatnya, ia sama sekali tidak berbeza,” katanya.
Sarjana Undang-Undang Antarabangsa, Noura Eraka, baru-baru ini memberitahu Al Jazeera, tindakan itu terlalu kecil dan sudah terlewat.
Beliau memetik kenyataan Perdana Menteri Britain, Keir Starmer yang memaklumkan United Kingdom (UK) akan mengiktiraf negara Palestin di PBB pada September 2025 melainkan Israel mengambil langkah substantif untuk menamatkan keadaan dahsyat di Gaza.

Jelas Eraka, tiada sebutan langsung tentang hak mutlak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri atau tentang kesahihan perjuangan kebangsaan Palestin, sebaliknya ia dibingkaikan sebagai satu bentuk hukuman terhadap Israel.
“Pengisytiharan ini hanya bertujuan menutup hakikat banyak negara Barat membenarkan Israel melakukan genosid melalui bantuan kewangan dan ketenteraan.
“Bukti paling nyata ialah bentuk negara Palestin yang ditawarkan. Jelas sekali, hak rakyat Palestin bukanlah keutamaan. Adakah ini bermaksud jika Israel menghentikan genosid dan berpura-pura menyokong penyelesaian dua negara, Britain akan mengubah pendirian untuk mengundi sebaliknya pula?” soal beliau.
Janji Kanada untuk mengiktiraf turut disertai dengan senarai panjang syarat mengenai dasar terhadap isu utama konflik Israel-Palestin, malah komitmen pertama yang dinyatakan adalah sokongan kepada Israel dan keselamatannya.
Kanada turut menuntut reformasi pentadbiran dalam Pihak Berkuasa Palestin (PA), penghapusan unsur ketenteraan negara Palestin, serta pilihan raya pada 2026 tanpa sebarang penglibatan Hamas.
Janji Australia juga serupa, turut bersyarat meminta PA mesti melakukan reformasi tertentu, termasuk menamatkan pembayaran kepada tahanan, pembaharuan pendidikan dan perlucutan senjata Hamas di Gaza.
Tetapi bagaimana pula dengan keselamatan rakyat Palestin? Proses damai lebih mengutamakan keselamatan Israel berbanding hak Palestin untuk menentukan masa depan. Ia dipanggil Perjanjian Oslo, di mana jaminan sebenar sebuah negara Palestin tidak pernah menjadi agenda.
Dalam esei The Morning After, Edward Said menulis tentang ‘keburukan’ cara perjanjian Oslo ditandatangani di Rumah Putih serta sikap merendah diri Yasser Arafat ketika mengucapkan terima kasih.
Said kesal kerana perjanjian itu bukanlah jalan ke arah kenegaraan, sebaliknya melambangkan kapitulasi Palestin dalam skala yang mengejutkan.
Ia hanya menghasilkan sebuah Pihak Berkuasa Palestin tetapi negara sebenar tidak pernah hadir.










